Matematik boleh dikaitkan dengan budaya negara

Iklan
Matematik juga boleh dikaitkan dengan budaya masyarakat Malaysia - Cikgu Sailfulnizan Kredit foto: Jeshoots/pexels

Secara lazimnya, ramai menganggap matematik satu mata pelajaran yang hanya berkaitan dengan penyelesaian masalah rumit melibatkan nombor dan memerlukan tahap pemikiran logik serta daya penaakulan yang sangat tinggi.

Sebut sahaja matematik pastinya akan terlintas di minda pelajar tentang satu pelajaran yang sukar untuk dikuasai selain memerlukan penumpuan maksimum ketika proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi benar-benar memahami konsep yang terdapat dalam mata pelajaran berkenaan.

Iklan
Iklan

Walaupun matematik didefinisikan sebagai satu kajian mengenai kuantiti, corak struktur, perubahan dan ruang namun ia juga boleh dikaitkan dengan budaya masyarakat Malaysia.

Cikgu Sailfulnizan

Menurut perkongsian daripada Guru Cemerlang Matematik, Cikgu Saifulnizan Che Ismail, terdapat tiga budaya negara yang berkait rapat dengan subjek dianggap sukar itu.

Iklan

Bagi mengubah persepsi dan tanggapan terhadap subjek Matematik, beliau yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Bahar, Kelantan, itu telah berkongsi dengan Sinar Bestari kaitan mata pelajaran berkenaan dengan permainan congkak, wau dan songket sebagai ilmu tambahan pembaca.

Jom kita lihat!

Iklan

CH: Congkak

Congkak merupakan permainan tradisional yang melibatkan papan kayu dengan dua baris lubang-lubang dan lubang yang lebih besar atau ‘Rumah’ di setiap hujung kayu.

Permainan ini dimainkan dengan biji guli atau objek kecil lain yang digerakkan sekitar papan menurut peraturan tertentu.

Congkak juga permainan yang menyeronokkan dan mencabar selain memerlukan strategi dan kemahiran yang boleh dimainkan pelbagai peringkat umur.

Ia bukan sahaja permainan yang menyeronokkan tetapi juga sebagai alternatif untuk belajar tentang konsep matematik.

Mana tidaknya, permainan ini turut menggabungkan konsep pengiraan tambah, tolak, darab dan kebarangkalian yang menjadikan pemain dapat meningkatkan kemahiran matematik sambil bermain.

Permainan congkak ini turut melibatkan konsep matematik yang lain seperti pengiraan, strategi dan spatial reasoning di mana pemain harus mengawasi bilangan biji guli yang mereka miliki dan bilangan biji guli dalam setiap lubang pada papan untuk membuat gerakan strategik.

"Permainan ini memperlihatkan konsep yang berkaitan dengan pembahagian dan baki.

"Apabila pemain meletakkan biji guli ke dalam lubang, mereka harus mengedarkannya secara sama rata, satu demi satu ke setiap lubang sehingga tidak ada biji guli yang tertinggal.

"Ini memerlukan pemain untuk melakukan pengiraan mental bagi memastikan mereka mengedarkan biji guli dengan betul,” kata Cikgu Saifulnizan.

Selain itu, permainan ini juga dapat digunakan untuk mengajar konsep yang berkaitan dengan kebarangkalian.

Sebagai contoh, pemain dapat mengira kebarangkalian biji guli jatuh ke dalam lubang tertentu, mengambil kira bilangan biji guli yang sudah ada di dalam lubang dan bilangan biji guli yang masih ada di papan.

Justeru, secara keseluruhan congkak adalah cara yang hebat untuk memperkenalkan konsep matematik secara menyeronokkan dan menarik di samping membantu membangunkan pelbagai kemahiran berkaitan subjek itu serta penyelesaian masalah.

CH: Wau

Wau adalah layang-layang tradisional yang berasal dari negara ini tetapi boleh ditemui di kawasan lain di Asia Tenggara.

Kebiasaannya ia diperbuat daripada buluh dan kertas atau kain dan mempunyai bentuk khas yang menyerupai figura manusia dengan lengan dan kaki terbuka.

Walaupun wau pada dasarnya merupakan bentuk seni tetapi menurut Cikgu Saifulnizan ia boleh digunakan untuk mengajar konsep matematik contohnya geometri wau boleh digunakan untuk mengajar bentuk seperti segi tiga, segi empat dan segi empat selari.

Simetri wau juga boleh digunakan untuk mengajar konsep seperti pantulan (reflection) dan pusingan (rotation).

Malah pembuatan wau berdasarkan Cikgu Sailfulnizan boleh digunakan untuk mengajar tentang pengukuran dan anggaran di mana pelajar boleh mengukur dan menganggarkan panjang batang buluh yang diperlukan untuk rangka, panjang tali yang diperlukan untuk menerbangkannya dan berat kertas atau kain yang digunakan untuk menutup rangka wau.

CH: Songket

Songket merupakan sejenis fabrik tradisional yang ditenun dengan menggunakan benang logam dan benang sutera atau kapas yang kebiasaannya digunakan pada acara-acara istimewa seperti perkahwinan dan majlis formal.

Proses pembuatan songket memerlukan masa lama dan tahap kemahiran yang tinggi.

Ia juga boleh dikaitkan dengan subjek matematik yang memperlihatkan corak rumit dalam fabrik songket berdasarkan prinsip-prinsip dalam subjek berkenaan seperti geometri, simetri, dan pengulangan (repetation).

Sebagai contoh, terdapat banyak reka bentuk songket mempunyai motif berulang yang diatur dalam corak simetri.

Di samping itu, terdapat juga reka bentuk songket yang menampilkan bentuk geometri seperti segi tiga, segi empat dan heksagon.

Bentuk-bentuk ini disusun dalam pelbagai corak untuk mencipta reka bentuk yang lebih kompleks dan pemintal mesti menggunakan perhitungan matematik untuk memastikan bentuk-bentuk tersebut disusun dengan betul selain mengekalkan simetri mereka.

Menenun songket turut melibatkan pengukuran antaranya panjang dan lebar fabrik serta jumlah benang yang diperlukan untuk mencipta corak yang diinginkan.

Ini memerlukan pemahaman tentang konsep pengukuran seperti panjang, luas, dan perimeter.