Program Kesukarelawan Antarabangsa memacu kecemerlangan mahasiswa UiTM

Iklan
Ketibaan delegasi UiTM ke Kota Jakarta baru-baru ini.

Kolaborasi antara pemimpin mahasiswa dari beberapa fakulti di Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama penuntut Universitas Negeri Jakarta (UNJ) dalam program Kesukarelawan Antarabangsa berlangsung dengan cemerlang sekali di Kota Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi merakam ucapan terima kasih dan memuji penglibatan kumpulan mahasiswa dalam program berimpak tinggi di peringkat antarabangsa itu.

Iklan
Iklan

"Malah, pembabitan mereka juga secara tidak langsung menyumbang kepada usaha meningkatkan ketampakan universiti di peringkat global,” katanya.

Mohd Sazili berkata, program yang berlangsung 18 hingga 21 September lalu telah melaksanakan pelbagai aktiviti menarik kepada para peserta.

Menyantuni komuniti di Rusunawa.

Iklan

Antara yang disediakan adalah aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) interaktif di Labschool, Rawamangun, Jakarta; pembuatan organik pesticide dan baja kompos; menyantuni warga Rusunawa; forum kepimpinan dan pertukaran kebudayaan Malaysia - Indonesia.

"Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan ini bermatlamat untuk memberi peluang kepada mahasiswa kedua-dua buah universiti meningkatkan kesedaran dan menambahkan pemahaman tentang sumbangan yang boleh mereka berikan kepada masyarakat setempat dan antarabangsa,” ujarnya.

Aktiviti baja kompos di Labschool.

Iklan

Sebelum itu, seramai 25 peserta yang terdiri daripada mahasiswa Fakulti Pendidikan; Fakulti Sains Gunaan; Fakulti Perladangan dan Agroteknologi; Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi; Kolej Alam Bina dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM serta UNJ menyertai program terbabit.

Turut serta 19 pensyarah dari UiTM dan UNJ bagi memeriahkan lagi program yang mendapat sokongan padu Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM.

Sementara itu, Ketua Delegasi, Dr Zarizi Ab Rahman berkata, aktiviti kesukarelawanan dalam dan luar negara berpotensi menyediakan mahasiswa holistik yang mampu membudayakan sikap prihatin, bertanggungjawab dan empati terhadap isu-isu domestik dan antarabangsa.

Zarizi berharap program sedemikian akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

"Oleh yang demikian, aktiviti sedemikian wajar dilaksanakan samada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa bagi menyediakan pemimpin masa depan yang mempunyai sikap kesukarelawanan, keperihatinan, kompetitif dan berdaya saing,” ujarnya merangkap Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pendidikan.

Dalam pada itu, majlis menandatangani Implementation Agreement (IA) bersama UNJ turut diadakan dalam program tersebut dengan dihadiri beberapa ahli akademik dari kedua-dua universiti terbabit.

Majlis menandatangani IA bersama UNJ yang dihadiri beberapa ahli akademik dari kedua-dua universiti terbabit.

Ahli akademik dari UNJ yang hadir terdiri daripada Dekan Fakulti Pendidikan, Profesor Fahrurrozi; wakil Rektor Bidang Perencanaan dan Kerjasama, Profesor Totok Bintoro dan Profesor Johansyah Lubis; Dekan Fakulti Sains Sosial, Profesor Sarkadi.

Manakala ahli akademik UiTM pula diketuai Dekan Fakulti Pendidikan, Profesor Madya Dr Sharipah Ruzaina Syed Aris; Dekan Fakulti Sains Gunaan, Profesor Dr Farida Zuraina Mohd Yusof dan wakil-wakil dari fakulti yang berkenaan.

Pengajaran interaktif di Labschool.

APA KATA MEREKA

1)"Saya berharap kerjasama ini tidak berakhir di sini; mudah-mudahan kita dapat mempergiatkan aktiviti, bukan hanya dengan Fakulti Pendidikan tetapi juga dengan fakulti lain. Semoga kerjasama ini menjadi landasan kukuh untuk pembangunan pendidikan dan pengetahuan. Bersama-sama, kita boleh menjayakannya,” - Sharipah Ruzaina

2)"Kerjasama ini adalah untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan standard akademik termasuk meningkatkan kualiti ahli akademik dari segi pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan kepada masyarakat. UNJ terbuka kepada kemungkinan kerjasama dalam program pertukaran pensyarah antara kedua-dua institusi,” - Totok Bintoro