Tentu guru-guru baharu melonjak kegembiraan apabila mereka berjaya bergelar cikgu menerusi pengambilan khas secara 'one-off' baru-baru ini.
Akan melapor diri di sekolah masing-masing mulai 1 Mac ini, sudah tentu pelbagai persiapan sedang dilakukan oleh guru yang terlibat.
Seorang cikgu yang dikenali sebagai Mohd Khairul Azman Ismail menerusi Facebooknya, memuat naik perkongsian tentang posting pertamanya ke Sabah.
"Memang benar pilihan pertama saya adalah Sabah dan ia diluluskan,” kata guru ini.
Cikgu Khairul Azman yang kini mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam, Selangor menulis sedikit catatan indah sepanjang mengajar di Sabah, beberapa tahun yang lalu.
"Buat guru-guru baharu, saya ucapkan tahniah dan selamat bertugas di tempat baru.
"Mengajarlah dengan penuh keikhlasan, insya-ALLAH semuanya akan dipermudahkan nanti,” ujarnya.
Mari ikuti perjalanan penuh indah sepanjang Cikgu Khairul Azman mengajar di Negeri Bawah Bayu.
Semoga ia memberi manfaat buat guru-guru baharu nanti.
Baca juga
9 bulan 22 hari Dany Al-Fathoni hafal 30 juzuk al-Quran, hebat didikan mak ayah pelajar MRSM ini
Tahniah! Seramai 8,120 guru berjaya temuduga mula lapor diri pada 1 Mac
*****
Bah…ke Sabah kita!
Satu coretan kisah khas buat guru-guru baharu yang bakal berjuang di Negeri Di Bawah Bayu.
Saat rakan-rakan se-Dip. Ed. UIAM kohort 2001 memilih tempat posting di kampung masing-masing, saya dan Razisatul Asyifah Ismail mencatat negeri Sabah sebagai pilihan pertama!
Kononnya mahu menabur bakti kepada anak-anak yang jauh dari semenanjung.
Dan hasilnya, pilihan kami diluluskan dengan jayanya!
Sebenarnya kami sudah bersedia dari segi mental untuk berkhidmat jauh nun ke negeri Bawah Bayu. Semangat guru muda ini lain macam. Berkobar-kobar setinggi puncak Nabalu!
Lalu pada saat dan ketikanya, dengan restu orang tua, saya dan Razisatul bersama anakanda Muhd Khayr yang masih berusia 2 tahun terbang ke negeri Sabah!
Rasa macam tak percaya saat pesawat mendarat di lapangan terbang Kota Kinabalu. Teruja dan debaran silih berganti.
Kami guru-guru dikumpulkan di Hotel Tabung Haji untuk ditaklimatkan. Ke ceruk manakah kami akan dipostingkan keesokkan harinya?
Dan pada malam itu terjawab segalanya saat surat penempatan bertukar tangan. Saya di SMK Kudat dan Razisatul di SMK Abdul Rahim, Kudat.
Kudat!
Wah, di manakah Kudat itu? Saya cuba bertanya kepada pakcik guard hotel.
"Nda jauh juga tu. Untung la sigu dapat Kudat. Seafood fresh-fresh di sana," balas beliau.
Keesokan hari, guru-guru yang ditempatkan di Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat dibawa menaiki sebuah van. Masing-masing nampak seronok dan bersemangat.
Hinggalah seorang demi seorang turun di lokasi masing-masing. Kini hanya tinggal beberapa orang sahaja.
"Jauh lagi ke Kudat bang?" tanya saya kepada pemandu van.
"Nda jauh lagi ba cikgu (Dah tak jauh dah)," balasnya sambil senyum.
Kepenatan terhuyung-hayang di dalam van mulai terasa. Si kecil Khayr sudah beberapa kali bangun dan jaga, namun Kudat belum juga kunjung tiba.
Razisatul hanya tersenyum kelat bila saya mengusiknya.
"Habislah kita. Tu lah, nak Sabah sangat!".
Kami melepasi Kota Belud. Nun saujana Gunung Kinabalu gah menunjukkan diri di sebalik awanan.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Mempersonakan!
Di Kota Belud, beberapa rakan guru turun. Kami ke Kota Marudu, turun lagi dua orang guru.
Perjalanan diteruskan.
Kiri kanan kami kini hanya hutan berselang seli dengan kebun sawit. Suasana tengah hari itu benar-benar misteri dan sunyi.
Kudat: 70km.
Aduh! Saya dan Razisatul hanya saling memandang tanpa kata-kata.
Lagu Khabar Dari Gunung nyanyian Abu Bakar Elah cuba menghiburkan kami. Namun di benak saya hanya berulang-ulang soalan. Di mana Kudat? Jauh lagikah Kudat?
Zzzz…
"Ba, bangun! Kita dah sampai Kudat!". Razisatul mengejutkan saya. Si Khayr di pangkuannya masih lagi lena.
Selamat datang ke Kudat!
Masya-ALLAH, cantiknya Kudat! Dari atas van yang masih bergerak memasuki pekan Kudat, kami melihat laut biru mengelilingi Kudat! Bagai mimpi rasanya.
Wah! Wahhh!
Memang berbaloi dapat Sabah! Memang bertuah dapat Kudat!
Sekolah kami tidak jauh dari laut. Angin laut yang lembut dan segar itulah yang kami hirup saban hari.
Selama lapan tahun! Satu tempoh yang bukan sekejap.
Kudat…Dengan anak-anak didik yang sopan dan baik. Dengan sahabat-sahabat Sabahan yang berbudi dan peramah. Dengan alam semula jadi yang memukau indah. Tiada yang tidak baik sebagai kenangan untuk posting pertama kami ini.
Jatuh suda kami kepada Kudat, kepada Sabah! Malah dua anak kami lahir di Kudat.
Kebetulan sungguh juga. Nama pangkal anak-anak kami membentuk nama Kudat tanpa disengajakan.
K - Khayr
U - Umayr
D - Dhuha
A - Awfa
T - (Tiada suda!)
Jika tidak kerana orang tua, pasti kami masih di Kudat hingga kini. Anak-anak didik di Kudat hingga kini masih berhubungan bagai anak kesayangan!
Kudat, bumi bertuah yang tetap dirindui walau lebih satu dekad berpisah.
Bagai masih terasa aroma makanan laut segar yang dipanggang di 'panggung'mu. Seakan baru semalam terdengar alunan kulintangan yang dimainkan oleh beliau-beliau di pasar tamumu.
Rakan-rakan guru,
Adik-adik guru baharu,
Di mana sahaja berkhidmat, pastinya lokasi posting pertama akan jadi kenangan paling mahal.
Berbaktilah sepenuh tenaga dan cinta. Nikmatilah momen-momen berharga di lokasi khidmat pertama.
Kelak ia akan menjadi memori sehabis mahal untuk dikenang sepanjang usia!
Sumber: Facebook Mohd Khairul Azman Ismail