Minat yang mendalam terhadap seni lukisan serta sokongan padu yang diberi oleh ibu bapa mendorong Nur Iman Mohd Azli Lee, 13, untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang animasi.
Nur Iman memulakan perjalanan sebagai seorang pelukis seawal usia enam tahun. Ketika itu, dia gemar melukis naga dan ia terus berkembang seiring usia apabila dia kini dikenali sebagai pelukis ilustrasi buku kanak-kanak bertaraf antarabangsa.
Kini, dia sedang mengikuti kursus animasi secara peribadi bersama Animonsta Studios yang terkenal dengan kartun animasi BoboiBoy.
Baca juga
Airiel Haziq mahu jadi arkitek, hasilkan lukisan seni bina kerana minat
Hargai seni tenunan, ini pesanan Cikgu Amin untuk semua murid
Nur Iman juga telah menceburi arena karya digital Non-Fungible Token (NFT) di mana kebanyakan karya yang dihasilkan telah dijual di platform pasaran NFT, pentas.io.
NFT merupakan token digital yang membolehkan anda menjual dan membeli hak milik aset digital.
Contoh NFT adalah seperti lukisan, muzik, animasi, GIF, video, kosmetik dalam permainan video, dan tiket konsert.
Karya-karya Nur Iman mendapat perhatian peminat-peminat NFT dan dia dikenali melalui projek NFT CryptoNaga atas nama pengguna sebagai Razor.
Seiring dengan keperluan semasa, Nur Iman memerlukan gajet khusus bagi mengembangkan minat dan bakat yang dimiliki dan ia direalisasikan Kerajaan Negeri Pahang yang prihatin terhadap kebolehan serta potensi tinggi dimilikinya.
"Saya ingin membuat animasi, seronok juga pengalaman membuat lukisan animasi untuk buku kanak-kanak.
"Terima kasih sebab bagi sumbangan untuk membeli kelengkapan melukis secara digital seperti komputer riba agar saya boleh belajar animasi dengan lebih meluas lagi," katanya.
Nur Iman yang juga anak novelis terkenal, Amaruszati Noor Rahim telah melukis ilustrasi bagi buku kanak-kanak tempatan yang dibawa ke peringkat global.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Nur Iman yang hadir ke Wisma Sri Pahang bersama bapanya, Azli Lee Abdullah menerima cek sumbangan kerajaan negeri yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pada Selasai.
Menurutnya Azli, dia terharu dengan sumbangan yang diterima dan berharap ia dapat membakar semangat anaknya untuk terus mengembangkan bakat yang ada.
"Saya bagi pihak Nur Iman ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana prihatin terhadap bidang seni dan sanggup memberi dana untuk membeli laptop untuk tujuan belajar animasi,” jelasnya.
Sumber: Pahang Media