Tetap disayangi ramai walau berperangai pelik. Itulah istimewanya Cikgu Zul!

Iklan
Tetap disayangi ramai walau berperangai pelik. Itulah istimewanya Cikgu Zul!

Kehadiran guru besar yang sporting dan cukup memahami adalah menjadi impian setiap warga sekolah.

Iklan
Iklan

Ini kerana, pentadbir sebegini hanya satu dalam sejuta dan jika sesebuah sekolah memilikinya, sudah pasti segala urusan sekolah akan berjalan lancar.

Iklan

Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti 2, Skudai, Johor, dianugerahkan guru besar, Zulkiflee Miswan sudah cukup membuatkan sekolah itu sentiasa berada dalam suasana yang ceria dan harmoni.

Iklan

Ini sebab Cikgu Zulkiflee atau Cikgu Zul memenuhi segala kriteria seorang pentadbir yang diperlukan oleh warga sekolah.

Walaupun beliau dikatakan guru besar paling ‘pelik’ di dunia, namun itulah kelebihan yang membuatkan Cikgu Zul disayangi ramai.

Memetik sedikit perkongsian daripada akaun Facebook sekolah tersebut baru-baru ini, admin page berkata, Cikgu Zul memiliki sikap yang tidak dimiliki oleh guru besar yang lain.

"Di sini, kami sertakan 13 fakta menarik mengenai Cikgu Zul. Semuanya yang ‘pelik-pelik’ mengenai guru yang kami sayangi ini,” kata admin tersebut.

Bagi mengetahui kisah Cikgu Zul dengan lebih mendalam, Sinar Bestari kongsikan cerita indah untuk tatapan semua pembaca.

Ini kisahnya.

*****

Seperti mana yang diketahui, Cikgu Zul telahpun berpindah ke SK Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor, baru-baru ini.

Cikgu Zul atau lebih mesra dengan panggilan bos di SK Taman Universiti 2 adalah antara guru besar yang paling ‘pelik’ di dunia.

Kenapa kami katakan begitu? Ini fakta mengenai kepelikan perangai Cikgu Zul yang ramai tidak tahu.

1) Tidak boleh duduk diam

Cikgu Zul dikenali sebagai seorang guru yang tidak boleh duduk diam. Beliau bukanlah seorang guru besar yang hanya duduk di dalam bilik sahaja sebaliknya setiap hari, beliau akan mencari ‘sesuatu’ untuk dilakukan.

Mengecat dinding, tanam pokok, hias sekolah dan sebagainya adalah aktiviti yang Cikgu Zul buat jika dia ada masa terluang.

Memang susah hendak tengok beliau duduk tanpa buat apa apa. Daripada kerja yang bersih sampai kerja kotor, semuanya dilakukan.

Jika tengok baju dan seluar Cikgu Zul ada calitan cat dan kotor, itu tandanya dia buat kerja.

Susah hendak cari guru besar yang baju dan seluar dipenuhi cat disebabkan aktiviti melukis mural dan bercangkul di sekolah.

2) Tidak pandai menyuruh cikgu membuat kerja

Cikgu Zul ini, gayanya bukan seorang yang suka mengarah untuk buat itu, buat ini. Beliau lebih suka buat kerja bersama-sama. Bukan setakat kerja berkaitan dengan profesion perguruan, hal tukang kebun pun dia akan buat sama-sama.

Jangan pelik kalau tengok Cikgu Zul pegang cangkul dan mencangkul dengan tukang kebun di sekolah, angkat kerusi meja, sapu sampah dan angkat almari. Tapi inilah perangai dia. Dia tidak pandai hendak menyuruh tapi dia lebih suka buat kerja sama-sama.

Kadang kala orang belum mula, Cikgu Zul sudah jalan dulu buat kerja tersebut. Dia tidak pandai suruh cikgu-cikgu buat kerja sedangkan dirinya duduk di pejabat. Kalau kerja itu berpeluh, biar dia berpeluh bersama, kalau kerjanya kotor, biar dia kotor bersama.

3) Tidak tahu marah

Ini lagi satu perangai pelik Cikgu Zul. Sepanjang menjadi guru besar di sekolah ini, memang payah hendak tengok dia marah sekalipun memang sepatutnya dia marah. Tapi dia boleh cool.

Kadang-kadang ramai yang tertanya-tanya, Cikgu Zul ini tidak pandai marah ke? Habis sangat kalau dia marah dia akan cakap benda itu tapi dengan nada yang serius. Tidak ada emosi. Sangat cool dan sempoi.

4) Tidak kedekut

Cikgu Zul memang tidak kedekut. Bila keluar makan dengan cikgu lain, memang dia akan bangun dan bayarkan. Hingga naik segan kalau keluar makan dengan dia.

Kalau perlukan apa-apa duit untuk program, memang tidak pernah dia cakap tiada duit. Kalau tidak ada sumber dari sekolah, beliau akan keluarkan dari poket dia sendiri. Dan dia tidak pernah ungkit benda ini. Jika tidak ada duit sangat, dia akan suruh tunggu dulu dan usahakan juga sampai dapat duit untuk buat sesuatu program.

Setakat ini, tidak pernah lagi program sekolah tidak dapat dijalankan disebabkan masalah duit. Alhamdulillah hendak apa semua dapat.

5) Layankan je

Satu lagi stail Cikgu Zul ialah, dia akan cakap ‘layankan je’. Apa juga idea cikgu-cikgu selagi tidak mendatangkan mudarat kepada nama sekolah, dia akan ikutkan.

Ada juga permintaan yang tidak perlu Cikgu Zul tunaikan dan boleh sahaja dia tolak. Tapi dia bukan jenis macam itu. Kalau dia tidak setuju sekalipun dia masih akan tanya pendapat majoriti cikgu dan kalau perlu penambahbaikan dia akan bagi cadangan. Tetapi boleh kata kebanyakkan masa dia akan ‘layankan je’.

6) Tahan bergurau

Selalunya akan ada jarak seorang cikgu dan pentadbir khususnya guru besar. Tapi Cikgu Zul ini bukan stail dia macam itu. Cikgu-cikgu boleh bergurau dengan dia dan gurau itu bukan macam gurauan antara staf dengan bos tetapi sudah macam adik beradik.

Macam-macam kami sakat dia. Habis kuat dia ketawa. Tidak pun macam biasa dia akan cakap, Amboi!

7) Tidak pandai mengumpat

Sikap mengumpat ini memang sifat kebiasaan manusia. Tetapi yang peliknya Cikgu Zul ini, dia tidak suka bercerita keburukan orang.

Bila kita cerita keburukan orang, dia boleh selit cerita kebaikan orang tersebut. Walaupun macam-macam dia dengar pasal keburukan orang, tetapi dia tetap layan seseorang tu macam dia tidak pernah dengar apa-apa. Dan kadang-kadang bila kita buat salah, dia tidak jaja kesalahan kita. Hatta tidak pernah pun sebut secara sindiran dalam mesyuarat. Justeru, cikgu-cikgu jadi segan dengan kesalahan sendiri. Tidak perlu kena perli.

8) Tidak suka mesyuarat

Cikgu Zul punya stail juga, dia tidak suka buat mesyuarat meleret-leret melainkan perkara itu penting.

Kalau ada cikgu-cikgu yang mahu bercakap dalam mesyuarat, Cikgu Zul akan pastikan yang mereka tidak bercakap panjang. Seorang satu minit. Ini kerana Cikgu Zul tidak suka guru-gurunya balik lambat dek hadiri mesyuarat di sekolah.

9) Cikgu Zul tidak suka ganggu hari cuti

Cikgu Zul sangat tidak suka kalau buat program hingga mengganggu cuti cikgu-cikgu. Beliau selalu cakap, waktu cuti jangan ganggu guru. Masa mereka cuti, biarkan cuti. Buat masa lain!

10) Jarang ambil cuti

Cikgu Zul jarang bercuti. Bayangkan hari Jumaat pun, beliau datang sekolah. Terbongkok-bongkok cat dinding seorang. Dan dia tidak paksa sesiapa pun datang masa dia buat kerja.

Beliau datang sekolah pun senyap-senyap hingga sampai lewat petang buat kerja. Tidak beritahu pada sesiapa pun.

Selalu Cikgu Asrilah teman mengecatnya. Dan yang paling pelik, hari terakhir Cikgu Zul bertugas di sekolah ini adalah pada hari Khamis 12/5 tetapi Cikgu Zul masih hadir ke sekolah pada keesokan harinya iaitu Jumaat untuk mengecat dinding bilik prasekolah! Pelik kan?

Selalu guru-guru yang sudah berpindah akan ‘cuci kaki’ sahaja. Tetapi Cikgu Zul tidak macam itu, pindah atau tidak beliau tetap berkhidmat untuk cikgu-cikgunya.

11) Naikkan nama cikgu

Satu lagi perangai pelik Cikgu Zul adalah, dia suka ‘jual’ cikgu-cikgu sekolah dia. Dia akan ‘UP’ kan cikgu-cikgu depan orang lain. Dia akan highlight apa jua kelebihan yang cikgu-cikgu ada. Kadang-kadang naik segan pula rasa bila dipuji depan orang lain walaupun kemahiran yang dimiliki itu sebenarnya keci saja. Tapi itulah Cikgu Zul.

Bagi dia, sekalipun kemahiran yang guru-guru dia miliki biasa-biasa sahaja tetapi bagi dia, ia sangatlah hebat dan dia akan sangat hargai dan bangga dengan warga pendidiknya.

12) Sangat cepat mesra

Cikgu Zul sejenis tidak perlukan masa yang lama untuk mesra dengan seseorang. Duduk semeja dengan dia, kejap saja sudah rasa macam lama kenal. Sudah boleh ketawa dan usik mengusik.

13) Rilex tapi meletop

Kalau tengok gaya Cikgu Zul ini bukan jenis agressif kejar fail-fail cikgu dan mesyuarat tidak kenal siang malam. Dia guna strategi rilex dan cool sahaja tapi menjadi. Selalu dia cakap"alah rileks la, kita buat dia.. no hal lah!”

Sekolah ini bukan sahaja transformasi keceriaan tetapi semuanya. Audit kewangan dapat tahap cemerlang dua tahun berturut-turut, anugerah lonjakan saujana Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), peningkatan keputusan UPSR dari 58 peratus ke 79 peratus, menang anugerah lestari sebanyak dua kali, menang pertandingan keceriaan, dapat penarafan TS25, dalam proses mendapat penarafan microsoft showcase school dan macam-macam lagi.

Ini hanya sebahagian daripada perangai 'pelik' yang ada pada Cikgu Zul.

Dan kerana kepelikan sikap beliau inilah menyebabkan ramai warga SK Taman Universiti 2 merasakan sangat berat untuk ‘melepaskan’ Cikgu Zul ke sekolah baharu.

Sebab itulah kalau ada yang hadir pada majlis perpisahan Cikgu Zul di sekolah baru-baru ini, akan melihat bukan setakat anak murid dan cikgu sahaja menangis kehilangan guru besar, tetapi pekerja kontraktor juga turut mengalirkan air mata. Semua terasa akan kehilangan seorang bos, rakan dan keluarga.

Apa-apa pun, inilah takdir buat semua warga sekolah. Kami meredai perpisahan ini. Kami doakan kepada Cikgu Zul supaya terus sukses, sihat dan dirahmati ALLAH selalu.

Kami semua sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Cikgu Zul. Jangan lupakan kami di sini. Sekalipun berpisah, bos tetap di hati kami.

Terima kasih atas segala tunjuk ajar, semangat dan ukwah sepanjang Cikgu Zul di sekolah ini.

Sumber: Facebook Uniqe Uniqe dan Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 2

Artikel berkaitan 

(VIDEO) Guru ‘unboxing’ pencukur rambut, beri amaran buat pelajar

Anak kelahiran Muar, Florence Tan dilantik Timbalan Ketua Juruteknologi di Nasa, inspirasi kepada pelajar bidang kejuruteraan

"Saya dah siapkan kerja sekolah cikgu, tapi…”– Air mata warganet tumpah!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok