Setelah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 diumumkan baru-baru ini, banyak kisah-kisah menarik telah disajikan sekali gus memberi inspirasi kepada masyarakat terutamanya pelajar.
Satu hantaran di Twitter oleh @NurulShima_3 telah meraih perhatian pengguna laman itu apabila dia membuat perkongsian tentang kisah anaknya memperoleh keputusan SPM yang membanggakan.
Di sebalik kecemerlangan tersebut, anaknya menghadapi cabaran dari segi masa untuk belajar kerana membantunya berniaga nasi bajet bagi menampung perbelanjaan harian.
Menurutnya, anaknya hanya akan mengulang kaji pelajaran pada waktu malam setelah habis berniaga.
"Pagi, pergi sekolah biasa, balik sekolah tolong saya berniaga. Malam baru dia kejar ilmu apa yang tertinggal.
"Saya tahu dia bergelut, tetapi saya tidak harap dia dapat A pun. Jadi anak soleh dan baik untuk kami pun dah Alhamdulillah.
"Tetapi, tadi dapat result, A+ ada. Menangis saya sebab tidak menjangkakannya,” katanya menerusi laman Twitter.
Dalam pada itu, Nurul Shima meluahkan rasa bangga dan bersyukur sebagai seorang ibu kerana dikurniakan seorang anak lelaki yang soleh dan baik.
"Sesiapa yang biasa datang gerai dan beli nasi bajet, mesti kenal anak Kak Shima ini. Hari ini result SPM keluar, jatuh air mata masa makan bila tengok A+ sebab tahu dia banyak hadapi cabaran. Saya bangga menjadi seorang ibu,” jelasnya.
Perkongsian tersebut telah mendapat perhatian daripada pengguna laman media sosial dengan lebih 1,500 tweet semula dan 6,000 tanda suka.
Kebanyakan pengguna laman Twitter juga turut berbangga atas pencapaian pelajar itu dan mendoakan agar mereka sentiasa berjaya dunia akhirat.
Apa yang kita boleh pelajari daripada kisah ini adalah keputusan akademik perlu bergerak seiring dengan adab sesama manusia dan itulah kejayaan yang sebenar.
Artikel berkaitan
Bangkit dari kegagalan, ini antara kata-kata semangat untuk pelajar SPM 2021
Trend tayang keputusan SPM semua ‘G’ di TikTok, bukan satu kebanggaan
Dunia sebenar menanti anda, inilah 8 ingatan mesra buat pelajar lepasan SPM