Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Johor telah dipilih oleh Universiti Malaya (UM) bagi menyertai program Let’s Go to Mummie’s Lab di sekolah tersebut, baru-baru ini.
Menurut Guru Besarnya, Mohd Ali Hadoon@Adon, aktiviti yang berunsurkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) memberi banyak manfaat kepada semua warga sekolah yang terlibat.
Tambah beliau, seramai 177 murid prasekolah hingga Tahun Enam, 17 guru penasihat, 22 wakil ibu bapa dan 12 ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah terlibat dalam program tersebut.
"Saya bangga kerana semua pihak telah memberikan kerjasama erat dan padu terhadap program Let’s Go to Mummie’s Lab ini.
"Ia cukup bermakna kerana dapat memberi pengetahuan tentang STEM yang mungkin ada sesetengahnya masih belum didedahkan sepenuhnya mengenai subjek pendidikan ini,” katanya.
Ujarnya lagi, murid-murid dan guru telah diberikan pelbagai input berguna berkaitan STEM oleh penganjur dan sebagai menghargainya, pihak sekolah membawa barisan fasilitator melawat Kampung Melayu Raya setelah program tamat.
"Dengan dibantu oleh Yang Dipertua PIBG, Ngatiman Seeron dan Ketua Kampung, Kampung Melayu Raya, Ab Razak Ab Rahman, kami telah membawa semua fasilitator seramai 11 orang ke beberapa tempat menarik di kampung ini.
"Antaranya melawat perusahan Industri Kecil Sederhana (IKS) Pizza Rohana, ternakan lebah kelulut, menikmati durian dan buah-buahan dalam suasana kampung dan beberapa tempat lain lagi,” katanya.
Dalam pada itu, wakil Let’s Go to Mummie’s Lab, Profesor Madya Dr Nor Azah dari UM memberitahu, semua pihak perlu memahami dengan jelas tentang STEM.
"Dalam mendepani cabaran Industri 4.0, generasi muda khususnya perlu menguasai bidang STEM.
"Ini adalah bagi melahirkan modal insan mahir di dalam bidang teknologi masa hadapan yang menjadi teras dalam Industri 4.0,” katanya.
[caption id="attachment_41288" width="400"] Nor Azah[/caption]
Let’s Go to Mummie’s Lab merupakan salah satu program yang dianjurkan UM, inisiatif bersama UM STEM Centre dan National STEM Movement.
Ia memberi fokus kepada pengenalan dan perkembangan pengajaran dan pembelajaran di dalam bidang sains dan teknologi untuk murid-murid di peringkat awal persekolahan.
Objektifnya memperkenalkan konsep teknik pembelajaran play-based untuk menerapkan minat terhadap sains dan teknologi dalam kalangan murid.
Selain itu, ia meningkatkan daya kreativiti dan kemahiran berinteraksi serta mengembangkan bakat juga potensi murid selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Artikel berkaitan
Rangkul naib johan dan pendebat terbaik, USIM kongsi tip kejayaan mereka
Jangan lepaskan peluang! Permohonan program-program Penajaan JPA Tahun 2022 kini dibuka
MSU memperkasa kemahiran mahasiswa