Sebagai usaha ke arah urus niaga tanpa tunai, lima penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) membangunkan aplikasi tempahan makanan untuk kantin sekolah.
Lima penyelidik dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) terlibat dalam pembangunan aplikasi itu yang dicipta untuk kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan, Sabah.
Mereka yang terlibat adalah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Dr Anath Rau Krishnan; Pensyarah Kanan UMSKAL, Dr Suzillah Sidek dan Dr Sharinah Puasa serta dua pensyarah FKAL iaitu Muhammad Hafizi dan Zakiah Hassan.
Menurut Anath Rau, sistem aplikasi yang menggunakan telefon bimbit itu sudah lengkap dan percubaan dalam kalangan ahli juga sudah dilaksanakan.
"Ujian rintis sistem itu dijangka dilaksanakan pada pertengahan Julai ini yang membabitkan pihak sekolah, pengusaha kantin dan pelajar SMK Labuan.
"Sistem yang dibina boleh dimuat turun ke telefon bimbit untuk memudahkan penggunaan dan ia akan memberi banyak faedah kepada ramai pihak terutama sekali pelajar.
"Ia juga secara tidak langsung dapat mempromosikan urus niaga 'cashless' di peringkat sekolah," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini.
Terdahulu, Anath Rau telah memberi pembentangan sistem aplikasi berkenaan pada mesyuarat bersama pentadbir SMK Labuan yang dipengerusikan pengetuanya, Mohd Nizam Yasim pada 30 Jun lalu.
Dalam pada itu, Mohd Nizam menyambut baik kerjasama dengan UMS dan menyatakan sokongan sepenuhnya daripada pihak sekolah bagi pelaksanaan sistem aplikasi berkenaan.
Latihan penggunaan aplikasi itu yang membabitkan pihak sekolah, pengusaha kantin dan pelajar dijadual dilaksanakan dalam masa terdekat.
Artikel berkaitan
Aplikasi ciptaan guru ini guna sistem Arduino mampu bantu pelajar malu berbahasa Inggeris
KPM bangunkan aplikasi penyusunan jadual sekolah, sediakan sistem berpusat mudahkan tugas guru
Penyelidik UUM berjaya komersialkan produk aplikasi penghantaran