Ogos yang cukup sinonim sebagai Bulan Kemerdekaan adalah bulan untuk rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan bangsa menyemarakkan semangat patriotik terhadap negara.
Pelbagai aktiviti telah dirangka sepanjang bulan ini antaranya mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan bendera negeri masing-masing.
Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak ketinggalan untuk turut serta menghidupkan Bulan Kemerdekaan ini dengan memasang bendera kemegahan negara dan kebanggaan Bumi Di Bawah Bayu di sekitar jalan-jalan utama kampus seperti Jalan Perdana Puncak Ilmu, Jalan Samudera dan Jalan Canselor.
Dalam masa sama, pihak Pengurusan Tertinggi UMS turut mengagihkan bendera kepada kakitangan dalam satu acara yang berlangsung di pintu utama universiti, baru-baru ini.
Agihan yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan itu telah dihadiri pegawai-pegawai utama dan kanan universiti.
Sementara itu, kakitangan UMS di peringkat jabatan, akademi, fakulti, pusat, institut dan bahagian turut tidak ketinggalan mengambil inisiatif menyemarakkan semangat patriotisme mengikut kreativiti masing-masing.
Bagi Pejabat Canselori, sambutan disemarakkan lagi dengan aktiviti larian mengelilingi kampus sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
"Ia bukan sahaja sebagai satu usaha menanamkan semangat kecintaan yang tinggi terhadap tanah air, tetapi pada masa sama menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan staf.
"Malah, ia juga mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kakitangan dan mampu mengurangkan stres selepas seharian bekerja,” kata Ketua Pejabat Canselori, Stella @ Nurul Martini Gontol.
Artikel berkaitan
UTeM jayakan projek komuniti bangunkan Sudut Hikmah di masjid
Pelajar FHPK UMK juara Taiwanese Halal Food and Plant Base Meat Cooking Contest
Profesor Gred Khas ‘A’ bidang komposit, saintis terbaik dunia, Malaysia terima anugerah khas