Dalam usaha membudayakan penggunaan peralatan digital dalam bilik darjah, landskap pendidikan negara berdepan dengan kesukaran membendung isu ketagihan gajet dalam kalangan murid sekolah.
Bagi mengatasi permasalahan ini, kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) mengadakan satu acara permainan tradisional bertempat di Taman Belimbing Setia, Durian Tunggal, Melaka.
Program yang berlangsung selama sehari itu berjaya mengalihkan perhatian kira-kira 60 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam daripada menggunakan gajet.
Menurut Pengarah Sukan Tradisional Arena NAZIM, Nazirah Aris, peserta-peserta mengambil bahagian dalam sukan baling tin, tarik upih, susun batu-bata, lompat getah dan kasut tempurung.
"Acara ini dijalankan dengan kerjasama penduduk setempat bertujuan melahirkan anak-anak yang sihat tubuh badan dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.
"Secara tidak langsung, program ini berupaya mengeratkan silaturahim antara ahli NAZIM, masyarakat dan peserta-peserta terlibat.
"Arus pemodenan dan kemajuan teknologi tidak seharusnya membantutkan perkembangan fizikal kanak-kanak disebabkan oleh pendedahan kepada gajet dan permainan skrin yang berlebih-lebih,” katanya seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
Jelasnya, ia mampu memberi kesan buruk kepada kanak-kanak seperti ketagihan gajet, kurang melakukan aktiviti fizikal dan tidak suka bersosial dengan rakan sebaya.
"Jadi, menerusi acara seperti ini, kita dapat melihat permainan yang diadakan secara berkumpulan itu membuatkan anak-anak lebih teruja dan gembira kerana dapat mencuba sukan yang jarang-jarang dilihat pada masa kini.
"Pihak NAZIM akan terus komited memperkukuhkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat supaya ia kekal relevan dan tidak lenyap ditelan arus kemajuan,” ujarnya.
Pada acara itu, turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil, wakil Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Alor Gajah, Mohd Hazwan Yusoff dan Pengerusi Penduduk Taman Belimbing Setia, Datuk Razali Basri.
Artikel berkaitan
9 Kesan Gajet Kepada Perkembangan Anak Anda
Sukar nak pisahkan anak dengan gajet, Ustazah Aminah kongsi 6 tip menarik sebagai panduan