Jika sukan lain memerlukan ketangkasan fizikal dan mental bagi memastikan momentum pergerakan kekal sepanjang perlawanan seperti bola sepak atau sukan yang dipertandingkan di Olimpik, namun lain pula caranya dengan memanah berkuda.
Dalam sukan memanah berkuda ini bukan sahaja menggunakan kekuatan fizikal lebih-lebih lagi dalam mengendalikan kuda tetapi turut mementingkan daya fokus seseorang pemanah bagi memastikan panahan yang dibuat tepat mengenai sasaran.
Keunikan itu menjadi pendorong buat jurulatih sukan tersebut, Mohd Khairul Nizam Hosnas dalam mendidik dan menyampaikan ilmu kepada kanak-kanak yang berminat untuk menceburi sukan kegemaran Rasulullah SAW.
Menurutnya, kesemua 150 anak-anak didiknya hanya mempelajari teknik memanah dan memanah berkuda akan dilakukan kemudian sesudah mereka mahir menggunakan busur dan panah.
Bagi memanah berkuda, kemahiran mengendalikan haiwan itu adalah sama penting dengan teknik memanah tepat mengenai sasaran.
"Untuk mengajar mereka memanah berkuda ini memerlukan banyak latihan dan kos yang banyak. Apatah lagi kos kuda sahaja memakan jumlah tinggi.
"Tetapi Alhamdulillah, memanah yang biasa pun mereka sudah teruja untuk belajar dan ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin mendalami sukan kegemaran Nabi Muhammad SAW ini,” katanya kepada Sinar Bestari.
Mohd Khairul Nizam yang juga berkhidmat sebagai penjawat awam berkata, latihan yang dilakukan setiap hujung minggu mendapat sambutan hangat tidak hanya daripada pelajar-pelajar sekolah tetapi ibu bapa yang turut meminati sukan itu.
Ujarnya, konsep pendekatan yang digunakan ketika melatih pelajar adalah dengan memastikan ibu bapa perlu tunggu, selain turut memberi peluang sekiranya mereka ingin mencuba.
"Tengok sukan ini sahaja sudah dapat pahala, apatah lagi kalau kita buat. Jadi apabila ibu bapa yang sertai (memanah berkuda) sebenarnya sedikit sebanyak membantu mengembangkan lagi sukan memanah dalam kalangan masyarakat.
"Sekali gus mengangkat sukan ini untuk lebih dikenali oleh semua orang tanpa mengira latar belakang, usia dan sebagainya,” katanya.
Ubah mindset sukan mahal
Ditanya mengenai cabaran mengajar sukan memanah, jurulatih Kelab Jiwa Panah memberitahu, salah satunya adalah untuk mengubah ideologi atau mindset sesetengah orang yang berpendapat sukan ini mahal dan hanya untuk orang kaya.
Jelasnya, dalam memanah terutamanya tradisional adalah antara sukan yang paling rendah kos digunakan.
Mana tidaknya, bayaran bulanan kelas memanah sahaja sekitar RM20 hingga RM30 dan berbekalkan RM50 sudah dapat membeli satu set alatan memanah.
"Saya secara peribadinya lebih gemar jika ibu bapa datang dahulu dan cari ilmu tanpa fikirkan kos. Jangan disebabkan wang menjadi penghalang untuk ibu bapa mendalami ilmu tentang sukan sunnah ini.
"Sebab jika bercakap soal mahal, wang dan sebagainya sukan lain pun memakan kos yang tinggi juga,” ujarnya.
Kebaikan memanah berkuda
Kesemua sukan pasti ada kelebihan yang tersendiri sama seperti memanah berkuda.
Kata Khairul Nizam prinsip utama yang dipegang sepanjang melatih pelajarnya adalah untuk mengangkat sunnah Nabi, selain mengasah kualiti fokus mereka.
"Dalam satu hadis Nabi sendiri ada mengatakan dalam memanah ada kekuatan dan untuk itu kita nak cari di mana kekuatan tersebut.
"Mungkin dari segi tenaga, akal atau sikap dan akhirnya dari sini ia akan dapat membentuk keperibadian dan kemenjadian budak-budak supaya menjadi lebih baik,” beritahunya lagi.
Dalam pada itu, Sinar Bestari sempat bertanya kepada pemilik kuda, Herman ismail, 37, tentang kelebihan yang ada pada haiwan tersebut.
Menurutnya, kuda merupakan haiwan yang diciptakan untuk mempunyai firasat tinggi dan boleh mengetahui sekiranya manusia takut untuk dekat dengannya.
"Bagusnya kuda ini kalau kita takut ia boleh dapat rasa dan lagilah ia akan usik kita seperti datang dekat dan sebagainya.
"Selain itu, menunggang kuda ini boleh melatih sifat kepimpinan sebab dalam perang zaman Rasulullah dahulu pun pejuang-pejuang yang menunggang kuda adalah antara pemimpin-pemimpin Islam,” katanya.