Menghasilkan poster digital bukan mudah kerana ia memerlukan gabungan kreativiti, kemahiran teknikal dan kefahaman yang mendalam tentang prinsip rekaan.
Setiap elemen dalam poster digital perlu seimbang dan dipilih dengan teliti untuk memastikan mesej disampaikan jelas serta difahami ramai.
Baru-baru ini, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan Alawiyah, Kangar, Perlis, Cikgu Khairil Azmir Ahmad memuat naik hantaran mengenai tip menghasilkan poster digital dengan baik menerusi laman Facebook pada Selasa.
Cikgu Khairil Azmir berkongsi rahsia itu kepada umum apabila dipilih menjadi juri Pertandingan Poster Digital Kerjaya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Perlis.
Sinar Bestari senaraikan di sini sebagai pengetahuan bersama.
1) Keterbacaan tinggi
Tulisan tema yang diminta senang dibaca dari jauh. Jadi pilihlah saiz dan warna huruf yang sesuai.
2) Patuhi rubrik
Rekaan poster mesti cuba sebaik mungkin mengikut rubrik permarkahan seperti rubrik mahu lima kerjaya terpampang dalam poster, pastikan ada lima kerjaya.
3) Pastikan asli
Banyak template dah ada di dunia luar jadi elakkan menggunakan template 100 peratus. Markah keaslian akan ditolak walaupun rekaan poster cantik tapi sudah berulang berkali-kali.
4) Utamakan layout potret (menegak) berbanding layout landskap (melintang) kerana poster layout potret kelihatan lebih berpengaruh dari layout landscape.
5) Tahu zon offset (frame dari tepi).
Pastikan apa jua elemen utama yang diminta jangan terlebih offset poster. Nanti elemen itu dianggap tidak penting dan mencacatkan elemen.
6) Elakkan DISTORT
- Sewaktu memanipulasikan imej, elakkan imej menjadi distort (terpenyek atau terpeliot) kerana imej sebegini mencacatkan imej elemen dalam poster.
7) Beri penegasan imej tema
Hiasan poster seperti corak, bunga, stiker atau apa-apa yang tidak berkaitan abaikan dulu. Utamakan yang utama. Lepas utama selesai, baru masukkan hiasan pelengkap.
8) Penggunaan font SERIF (ekor) pada tajuk agak tidak sesuai untuk poster yang ada kaitan dengan digital atau masa hadapan. Biasanya font SERIF ni memberi imej klasik zaman dulu-dulu.
9) Pastikan kecerahan imej utama kontra ( berbeza) dengan latar belakang bukan harmoni (sama cerah dengan latar) untuk memastikan semua elemen utama nampak jelas.
10) Pastikan reka letak semua elemen itu seimbang (simetri -kiri kanan sama banyak atau tidak simetri-seimbang dari segi elemen seni) agar nampak padu poster anda di mata juri.
Akhir sekali, rekaan poster yang mantap bukan kerja mudah.
Ia memerlukan usaha padu berterusan dan tidak pernal kenal erti putus asa.
Percayalah, setiap usaha pasti akan membuahkan hasil terbaik. Trust the process. Insya-ALLAH.