Ceritera Cikgu Din atau nama sebenarnya, Mohammad Izzuddin Izhar masih lagi menjadi bualan ramai sejak tular kebelakangan ini.
Kerana viralnya kisah berkenaan, seluruh rakyat Malaysia bagaikan ternanti-nanti apakah perkembangan terbaharu Cikgu Din yang kini sudah berpindah sementara ke Kelantan bagi menemani isteri, Nur Atiqah My Yusoff yang diuji penyakit kanser tahap empat.
Bekas guru, Mohd Fadli Salleh antara individu yang sering mengemas kini mengenai kehidupan Cikgu Din sekeluarga menerusi akaun Facebooknya.
Selain sering memberi kata-kata semangat untuk Cikgu Din, beliau (Cikgu Fadli) juga telah melancarkan Tabung Kutipan Dana Kilat Cikgu Din bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi guru berkenaan.
Terbaharu, bekas guru itu berkongsi catatan tentang kunjungannya ke rumah mertua Cikgu Din dan isteri bagi menyerahkan kutipan dana kilat kepada beliau.
Sesi serahan mock cheque berjumlah RM50,000 diberikan Cikgu Fadli kepada Cikgu Din menerusi sekeping gambar yang dimuat naik di Facebook.
"Kami dah sampaikan amanah yang dikirim melalui kami kepada beliau dan isteri.
"Seronok dapat borak dengan Cikgu Din, sangat ramah dan mudah mesra orangnya.
"Puan Atiqah pula nampak sangat bersemangat dan gembira. Macam orang tak sakit pun wajah beliau,” catatnya.
Maklum aktivis dan ikon guru Malaysia itu lagi, berita baik yang diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tentang penempatan sementara Cikgu Din di sekolah berdekatan dengan isteri, benar-benar memberi impak positif pada beliau.
"Terima kasih Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana cakna dan bertimbang rasa.
"Juga terima kasih pada semua warga maya yang menyokong, menyumbang dan mengutus doa. Moga kebaikan dari doa-doa itu kembali semula kepada kalian semua.
"Tiada kata yang Cikgu Din boleh ungkap selain syukur dan doakan kita semua juga diberi kebaikan oleh ALLAH,” kongsinya lagi.