Tujuh rahsia menjadi guru yang cemerlang! Cikgu wajib baca

Iklan
Seorang guru perlu mempunyai pelbagai kemahiran seperti kemahiran komunikasi, pengurusan kelas dan kebolehan untuk memberi inspirasi kepada pelajar.

Menjadi guru yang cemerlang tidak semudah yang disangka kerana ia melibatkan lebih daripada sekadar menyampaikan ilmu.

Sebagai contoh, seorang guru perlu mempunyai pelbagai kemahiran seperti kemahiran komunikasi, pengurusan kelas dan kebolehan untuk memberi inspirasi kepada pelajar.

Iklan
Iklan

Selain itu, mereka juga harus mampu menyesuaikan diri dengan perubahan kurikulum, perkembangan teknologi dan keperluan individu pelajar.

Guru yang cemerlang perlu menunjukkan dedikasi, sabar dan sentiasa berusaha meningkatkan diri untuk memberi kesan positif terhadap perkembangan pelajar.

Iklan

Bagi membantu guru-guru Malaysia menjadi yang cemerlang, Sinar Bestari senaraikan beberapa saranan untuk dipraktikkan.

1) Lokasi

Iklan

Kebanyakan guru akan berfikir cara kreatif untuk menawan hati para pelajarnya. Ini kerana, dalam sesebuah kelas pastinya terdapat golongan pelajar yang mudah mengantuk, buat hal sendiri, tidak sukakan subjek tersebut dan pelbagai lagi.

Jadi, guru perlu kreatif dalam pengajaran. Lazimnya, guru akan mengajar di luar kelas untuk mengambil angin dan suasana baru. Pastinya mengajar di bawah pokok di tepi padang menjadi pilihan ramai guru.

2) Kreatif

Teknik mengajar perlulah kreatif! Ya, profesion keguruan sememangnya memerlukan seseorang yang kreatif. Guru perlu tawan hati pelajar untuk menarik minat mereka. Apatah lagi, kalau terdapat segelintir pelajar yang nakal dan tidak fokus di dalam kelas.

Penggunaan alat bantu mengajar ternyata mampu menarik pelajar untuk lebih fokus dan menghayati pembelajaran. Begitu juga dengan penyertaan pelajar seperti lakonan mahupun aktiviti berkumpulan untuk memberikan lebih pemahaman tentang sesuatu subjek.

3) Pujian

Usah kedekut dengan pujian. Berikan pujian kepada setiap jawapan yang pelajar berikan walaupun kurang tepat. Ini akan membuatkan mereka lebih bersemangat untuk menyertai sesi soal jawab bersama guru.

Jika jawapan yang diberikan adalah salah, usah merendahkan mereka sebaliknya cuba berikan klu untuk mereka mendapatkan jawapan yang betul atau paling hampir.

4) Ganjaran

Untuk merancakkan lagi sesi pembelajaran, guru boleh mengambil inisiatif sendiri dengan membeli pensel, buku nota kecil atau gula-gula untuk diberikan kepada yang berjaya menjawab soalan, menyiapkan latihan lebih awal daripada masa ditetapkan ataupun apa saja yang mampu membuatkan seorang itu gembira semasa sesi kelasnya berlangsung.

5) Perhatian pada semua

Ini paling penting. Ketika mengajar, guru perlu latih anak mata supaya memandang ke wajah semua pelajar. Ini untuk mengelakkan pelajar yang agak lemah berasa tidak dihargai dan tidak diperlukan. Berikan mereka peluang untuk menjawab soalan dan pastinya pelajar akan lebih fokus selepas itu. Tidaklah anak-anak didik ini rasa yang guru hanya fokus dan meminta jawapan daripada pelajar yang bijak sahaja.

Bukan itu sahaja, pancing idea mereka sebanyak-banyaknya. Ini untuk melatih pelajar mendengar perbezaan pendapat dan ilmu berinteraksi dengan orang lain, tidak kira sesama rakan, guru, orang tua atau pun sesiapa saja yang mereka temui.

6) Maksimakan teknologi

Guru juga boleh menggunakan pelbagai gajet dan manfaatkan teknologi yang ada seperti komputer riba, internet dan projektor untuk mengubah fokus pelajar daripada benda statik di atas buku teks kepada yang bergerak. Melaluinya, pembelajaran akan lebih segar, bervariasi dan sering terdedah dengan informasi terkini.

7) Variasi

Usah jadikan kelas anda hambar dengan pembelajaran semata-mata. Selepas 15 minit mengajar, apa kata selitkan soalan kuiz untuk memastikan otak pelajar sentiasa segar dan fokus.

Selain itu, boleh segarkan kembali dengan aktiviti bersama seperti melakukan regangan dan senaman otot. Cuba jadikan keadaan itu melucukan. Tentu gamat seketika kelas anda. Selepas itu, pastinya pelajar akan menjadi lebih bersemangat.