Sarawak sering dianggap mencabar untuk guru-guru yang baru bertugas ke negeri itu.
Lokasi pedalaman dan akses terhad, jarak jauh dari keluarga, perbezaan budaya, kekurangan kemudahan perubatan dan sebagainya menjadi faktor mengapa sesetengah pendidik menolak untuk mengajar di Sarawak.
Bagaimanapun, negeri yang terkenal dengan makanan unik dan sedap seperti mee kolok, manuk pansuh, laksa sarawak dan kek lapis itu masih tetap menawarkan pengalaman unik dan keindahan alam semula jadi yang memukau kepada golongan guru.
Bak kata pepatah Melayu 'tak kenal maka tak cinta'.
Cikgu Ahmad Faizal Osman atau mesra dipanggil Cikgu Emmet merupakan seorang guru yang dikenali ramai dalam kalangan warga pendidik di Sarawak.
Beliau yang berkhidmat di sebuah sekolah di negeri itu, turut popular di Semenanjung Malaysia kerana sering berkongsi cerita menarik menerusi blog Cikgu Emmet Menulis.
Baru-baru ini, beliau menyenaraikan lima tip penting buat guru-guru yang bakal berkhidmat ke Sarawak di awal karier masing-masing.
Perkongsian video di YouTube peribadinya ternyata menarik perhatian warganet kerana info yang disampaikan jelas dan menarik.
Di sini, Sinar Bestari sertakan koleksi tip yang dimaksudkan oleh Cikgu Emmet.
1) Buat kajian latar belakang sekolah
Bagi guru yang ditugaskan ke Sarawak, sangat penting untuk membuat kajian latar belakang sekolah tempat mereka bertugas.
Ia bertujuan mempersiapkan mental dan fizikal mereka yang bakal berkhidmat kerana terdapat sesetengah kawasan yang mencabar persekitarannya disebabkan terletak di pedalaman.
2) Hormati guru senior
Berkelana sebagai orang baharu di sesebuah sekolah sudah pasti membuahkan perkenalan dengan guru yang lebih senior.
Justeru, bagi memperdalam input dan maklumat tempat bertugas, hubungan antara guru baharu dan lama haruslah baik.
3) Bercampur dengan masyarakat
Sebagai warga pendidik, hubungan bersama masyarakat setempat sangatlah penting. Oleh itu, luaskan pergaulan yang tidak hanya sebatas bersama warga pekerja lain.
Bagi pendidik yang terdiri daripada guru agama dan tempat kerja anda di kawasan perkampungan Melayu Islam, mungkin mereka dipanggil untuk mengetuai bacaan doa dan tahlil jika terdapat kenduri.
Selain itu, para guru juga berpeluang menyertai aktiviti riadah anjuran warga tempatan sekali gus mengeratkan silaturahim sesama mereka.
4) Belajar bahasa tempatan
Mempunyai etnik dan kaum yang berbilang di Sarawak menjadikan guru-guru mempunyai kelebihan untuk mempelajari pelbagai bahasa seperti Iban, Melanau dan Bidayuh.
Oleh itu, mereka diingatkan untuk tidak melepaskan peluang tersebut dengan mempelajari bahasa tempatan bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.
5) Jangan keras kepala atau ego
Bak kata pepatah 'masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum'.
Penting untuk diingatkan kepada warga guru yang bertugas di Sarawak untuk tidak berbuat sesuka hati kerana penduduk di sana sangat menerima kehadiran orang luar dengan hati terbuka.
Sekiranya berkhidmat di sesetengah kawasan yang penduduknya rata-rata bukan beragama Islam, adakalanya mereka ditawarkan minuman tradisional tidak halal seperti ‘tuak’.
Sebagai Muslim, kita harus menjaga prinsip namun pada masa sama perlu menolaknya dengan baik tanpa membuatkan mereka tersinggung.
Akhir sekali, kami mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada kumpulan guru yang bakal berkhidmat di Sarawak nanti.
Semoga terus cekal, tabah dan berdedikasi dalam menjalankan amanah mendidik anak bangsa walau di mana sahaja anda bekerja.
Jadikan pengalaman ini peluang untuk berkembang, menyumbang dan mencipta impak positif dalam kehidupan pelajar dan komuniti setempat.
Selamat bertugas!