Sekolah bertingkat akan diperkenal bantu tangani masalah kepadatan - PM

Iklan
Perdana Menteri bermesyuarat bersama kepimpinan tertinggi KPM di Putrajaya. Foto: Facebook Anwar Ibrahim

Inisiatif sekolah bertingkat dengan kerjasama sektor korporat akan diperkenal bagi membantu menangani masalah kepadatan sekolah di kawasan bandar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, inisiatif ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan infrastruktur pendidikan tetapi juga memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk murid serta guru.

Iklan
Iklan

"Inisiatif seperti sekolah angkat dengan dukungan rakan strategik korporat akan diperluas bagi membuka lebih banyak peluang pembelajaran kepada murid terutama dalam bidang kemahiran digital dan daya cipta,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Perkara itu merupakan inti pati mesyuarat Perdana Menteri bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya.

Iklan

Beliau berkata, dalam era digital dan kecerdasan buatan, sistem pendidikan negara perlu berkembang seiring perubahan teknologi dengan pendidikan digital akan terus diperkasa agar murid memperoleh kemahiran teknologi yang diperlukan untuk masa depan.

Anwar juga berkata, penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu terus disemarak tanpa mengabaikan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa bagi memastikan pelajar memiliki kelebihan di peringkat global.

Iklan

Beliau berkata, peningkatan kemasukan dalam lapangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut menjadi fokus utama kerana langkah ini penting bagi memastikan tenaga kerja negara sentiasa relevan dengan keperluan industri di samping menjamin kebolehpasaran graduan yang lebih tinggi.

"Kerajaan juga bersungguh-sungguh untuk memperluas program TVET ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam pelbagai sektor strategik," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan beriltizam tegas untuk melaksanakan reformasi pendidikan secara menyeluruh bagi memastikan setiap murid mendapat akses kepada sistem pendidikan yang berkualiti, relevan dengan keperluan semasa dan mampu membentuk mereka sebagai pemimpin masa depan.

Anwar berkata, keutamaan juga akan diberi kepada pemerkasaan guru sebagai agen perubahan yang berperanan penting dalam mencorak masa depan pendidikan negara manakala latihan lebih komprehensif, peningkatan kemahiran pedagogi dan penggunaan teknologi dalam bilik darjah turut diperkukuh bagi memastikan setiap murid mendapat pengalaman pembelajaran yang lebih berkesan. - Bernama