Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan melaksanakan solat jenazah ghaib untuk bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas solat Zohor, hari ini.
Kenyataan berkenaan dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook di mana ia (solat jenazah ghaib) akan dilakukan di Masjid Sayyidina Abu Bakar, UTeM.
Dalam perkongsian sama, pihak UTeM turut menitipkan doa kepada arwah yang meninggal dunia di usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 7.10 malam tadi.
"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” catat Facebook itu.
Untuk info, solat jenazah ghaib adalah solat jenazah yang dilakukan untuk seseorang yang telah meninggal dunia, tetapi jasadnya tidak berada di hadapan orang yang melakukan solat tersebut.
Situasi ini biasanya berlaku apabila jenazah berada di tempat yang jauh atau tidak dapat dijumpai.
Dalam keadaan berkenaan, umat Islam digalakkan untuk melakukan solat jenazah ghaib sebagai tanda penghormatan dan doa kepada si mati.
Pensyariatan solat ini dapat dilihat berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
Maksudnya:"Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu akan berita kematian al-Najasyi ketika hari kematiannya. Baginda SAW keluar ke musolla, membuat saf dan bertakbir sebanyak empat kali". - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, solat jenazah ghaib boleh dilakukan bermula dari saat berita kematian dan berlanjutan selama tiga hari.
Ini kerana, tiga hari itu adalah tempoh bertakziah menurut yang maklum dari kitab-kitab fiqh.
Namun pendapat yang muktamad adalah harus solat ghaib selama mana beliau adalah ahli solat ketika kematian berlaku.