"Cikgu singgah tempat kamu, Nafisah. Terasa hangat seperti masih ada..."
Demikian luahan sebak dikongsikan seorang guru di TikTok selepas kehilangan pelajarnya, Safiah Nafisah Muddatstsir yang telah kembali ke rahmatullah secara mengejut pada 7 Mei lalu.
Guru yang dikenali sebagai meknamohtar (Miss Na) di TikTok berkata, perasaan sedihnya sukar digambarkan apabila kembali ke kelas pelajar Tingkatan Dua dari Sekolah Menengah (SM) Sains Banting (BASIS), Selangor itu.
"Cikgu cuba bercakap dengan kawan-kawan kamu di kelas. Pandang setiap yang jadi dengan hikmah.
"Biasakan diri sentiasa dalam wuduk kerana kita tidak tahu bila masa 'sampai'. Alangkah indah bila mati dalam wuduk. Jagalah solat lima waktu walau penat seharian sebab ALLAH tunggu kita," tulisnya di TikTok.
Sementara itu, ramai menganggap kematian Safiah Nafisah sebagai satu pengajaran besar di mana bahawa hidup ini sangat singkat dan setiap detik perlu dimanfaatkan sebaiknya.
"Tuntutlah ilmu jangan sia siakan kerana boleh jadi kita mati dalam keadaan syahid kecil. Berbuatlah baik kerana kita tidak tahu amalan mana yang ALLAH nak angkat sehingga ramai yang solat jenazah.
"Ambillah ibrah dari kisah adik arwah Nafisah ini untuk bekalan kita yang hidup. Pandang secara hikmah untuk memperbaiki diri jadi lebih baik,” kongsi guru tersebut di platform TikTok.
Untuk info, Allahyarhamah Safiah Nafisah telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Rabu lalu dalam keadaan penuh keberkatan iaitu sedang berwuduk dan dalam perjalanan untuk menunaikan solat Subuh.
Kisah pemergiannya mendapat liputan meluas bukan sahaja di media tempatan malah menyentuh hati ribuan rakyat Malaysia.
Ramai yang menyifatkan cara pemergiannya sebagai 'husnul khatimah' iaitu satu kematian mulia dan menjadi dambaan setiap insan beriman.