
'Safiah Nafisah pergi menghadap Ilahi ketika dalam perjalanan ke surau. Satu perjalanan terakhir yang penuh rahmat' - Warganet
Satu Malaysia menangisi pemergian pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah (SM) Sains Banting (BASIS), Selangor, Safiah Nafisah Muddatstsir pada pagi Rabu.
Meskipun ramai tidak mengenali Allahyarhamah secara dekat, namun berita kehilangan ini cukup menyentuh hati rakyat Malaysia.
Tinjauan wartawan di platform TikTokSinar Bestari mendapati, video tentang pemergian Allahyarham Safiah Nafisah telah meraih lebih 100,000 tontonan hanya dalam beberapa jam selepas dimuat naik.
Ruangan komen pula dibanjiri dengan pelbagai ucapan takziah, doa dan kata-kata semangat buat keluarga yang ditinggalkan.
Berdasarkan maklumat terkini, Allahyarham Safiah Nafisah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Subuh pagi Rabu.
Perkara ini turut disahkan menerusi hantaran bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin di Instagram pada hari yang sama.
"Warga BASIS dikejutkan dengan berita pemergian adik Safiah Nafisah Muddatstsir ke negeri abadi. Adik Safiah Nafisah adalah pelajar Tingkatan 2. Kami difahamkan dia rebah ketika berjalan ke surau. Satu perjalanan terakhir yang penuh keberkatan.
"Saya ke surau Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya, untuk mengucapkan takziah kepada ayah dan ibu Safiah Nafisah iaitu saudara Muddatstsir dan isteri. Kehilangan seorang anak secara mengejut pada usia baru mencecah 14 tahun tentunya satu ujian yang sangat berat buat ibu bapa dan ahli keluarga terdekat.
"Kemudian, saya bersama sahabat-sahabat bertahlil dan menunaikan sembahyang jenazah. Jenazah telah selamat dikebumikan selepas sembahyang Isyak.
"Saya doakan agar ALLAH SWT memberi kekuatan dan ketabahan kepada keluarga adik Safiah Nafisah dalam menghadapi dugaan ini. Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” tulisnya.
Sementara itu, Sinar Bestari kongsikan beberapa ucapan pilu yang nyata meruntun hati sesiapa sahaja membacanya, susulan pemergian pelajar Tingkatan Dua BASIS itu.
"Walaupun tidak mengenalinya, saya rasa sangat terkesan. Begitu indah pemergiannya menuju ke surau," tulis seorang pengguna.
Beberapa orang lagi menulis:
"Pemergian yang sangat mulia, menuju ke surau untuk solat Subuh. ALLAH pilih dia dalam keadaan yang paling indah. Kami semua cemburu, dik..."
"Tak layak bagi saya untuk meminta keluarga arwah Safiah Nafisah bersabar. Tak layak bagi saya untuk menyuruh mereka lebih tabah. Yang saya boleh kata, insya-ALLAH, arwah sedang gembira di taman syurga sekarang.”
"Arwah merupakan penolong kelas yang sangat tenang, baik dan saling bantu membantu."
"Ya ALLAH, walau tak kenal adik ni, tapi hati terasa sedih sangat. Semoga dia tenang di sana."