Dulu menonton, kini wakili negara

Iklan
Pemain perlu mengunci posisi badan dan gaya lontaran supaya boules dilontarkan tepat ke arah cochonnet.

Syed Akmal sering mengikut ayahnya bermain petanque, menjadi inspirasinya dalam sukan itu

Ketika rakan-rakan sebaya sibuk bermain bola sepak dan badminton di padang permainan, Syed Akmal Syed Ali pula lebih gemar duduk di tepi gelanggang kecil berpasir, memerhati ayahnya melontar bola logam ke arah bola kayu kecil yang dinamakan cochonnet.

Itulah detik awal seorang juara negara mengenal erti fokus, strategi dan semangat di tengah suasana petang yang santai tetapi penuh kesungguhan.

Iklan
Iklan

"Ayah kata, ini sukan petanque. Setiap lontaran ada seni, balingan perlukan ketenangan dan taktikal. Dari situlah semuanya bermula,” kongsi Syed Akmal, 28, kepada Sinar Bestari.

Ayahnya, Syed Ali Syed Akil, 53, merupakan bekas atlet petanque negara bukan sahaja menjadi inspirasi tetapi juga pembimbing yang membuka jalan buat anaknya mengenali dunia sukan ini secara lebih mendalam.

Iklan

Pada usia 14 tahun, Syed Akmal dipilih menyertai skuad junior kebangsaan.

Dua tahun kemudian, melangkah lebih jauh apabila berjaya diserap ke dalam skuad utama Malaysia.

Iklan

"Tidak pernah bayangkan daripada sekadar menonton ayah bermain, saya kini beraksi mewakili negara. Ia satu pengalaman luar biasa,” katanya.

Tahun 2013 menjadi titik tolak besar apabila Syed Akmal memenangi pingat emas pertama dalam Kejohanan Asia Petanque.

Pada usia 20 tahun pula, beliau mencipta kemuncak kerjayanya dengan pingat emas Sukan SEA serta pingat gangsa Kejohanan Dunia di Belgium.

Langkah seorang graduan

Namun yang paling mengagumkan, di sebalik jadual latihan dan kejohanan yang padat, Syed Akmal tetap menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan cemerlang.

"Saya percaya, minat terhadap sukan tidak sepatutnya jadi penghalang untuk berjaya dalam pelajaran. Kita boleh lakukan kedua-duanya, asalkan ada disiplin dan perancangan,” jelasnya.

Bagi beliau, petanque mengajarnya erti kesabaran, fokus dan konsisten sekali gus ia nilai sama yang dibawa ke dewan kuliah dan tugasan akademik.

Bagi pelajar yang bergelut memilih antara sukan atau pelajaran, Syed Akmal mempunyai satu pesanan penting.

"Tak perlu pilih satu. Pilih untuk seimbangkan. Jika kita rancang masa dengan baik dan jujur dengan usaha kita, kejayaan dalam kedua-dua bidang boleh dicapai.

” Beliau turut menasihatkan agar pelajar mencari sokongan daripada keluarga, guru dan rakan yang memahami minat mereka, kerana perjalanan menuju impian tidak perlu dilalui seorang diri.