Kehadiran pensyarah muda di institusi pengajian tinggi (IPT) kini menjadi antara perubahan ketara dalam landskap pendidikan negara.
Berusia seawal 20-an, golongan itu tampil bukan sahaja dengan kelayakan akademik yang kukuh, malah membawa semangat, idea baharu dan pendekatan yang lebih relevan dengan generasi pelajar masa kini.
Dikenali sebagai generasi celik teknologi, kreatif dan mudah didekati, pensyarah muda dilihat mampu menjadikan suasana pengajaran lebih segar serta interaktif.
Trend peningkatan jumlah pensyarah muda di institusi pengajian tinggi dilihat sebagai satu perkembangan positif yang memberi nafas baharu kepada industri pendidikan negara.
Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar berkata, kemunculan generasi berkenaan membuktikan bahawa minat terhadap profesion pensyarah terus berkembang dalam kalangan belia.
“Ia menunjukkan wujudnya kesedaran baharu terhadap peranan penting ilmu, bimbingan dan intelektualisme dalam membentuk masyarakat masa depan.
“Generasi ini melihat kerjaya akademik bukan sahaja sebagai platform pengajaran, malah sebagai medan pengaruh, inovasi dan advokasi nilai-nilai progresif,” katanya kepada Sinar Bestari.
Bagaimanapun, terdapat persepsi negatif yang perlu ditangani antaranya tanggapan bahawa pensyarah merupakan kerjaya yang terlalu tradisional.
Realitinya, peranan pensyarah hari ini amat dinamik dan mencabar, memerlukan kemahiran teknologi, komunikasi rentas generasi serta keupayaan mengintegrasi teori dengan amalan semasa.
“Komitmen yang padu daripada pensyarah amat penting dalam membina negara bangsa yang lebih cemerlang,” katanya lagi.
Gen Z bawa pendekatan lebih segar
Kehadiran generasi Z atau Gen Z sebagai pensyarah muda di institusi pengajian tinggi (IPT) semakin menyerlah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Dengan gaya tersendiri, pemikiran terbuka dan kemahiran digital yang tinggi, mereka membawa pendekatan pengajaran yang lebih segar dan dekat dengan jiwa pelajar.
Tambah Wan Marzuki, IPT memainkan peranan untuk memperkenalkan laluan kerjaya akademik yang lebih fleksibel dan berstruktur seperti program pensyarah pelatih, bimbingan mentor-mentee dan latihan pedagogi serta penyelidikan berterusan.
“Gen Z lazimnya membawa pendekatan yang lebih segar dan berfokuskan pelajar dalam pedagogi.
"Mereka ini cenderung menggunakan teknologi, pendekatan mikropembelajaran, gamifikasi dan interaksi dua hala yang lebih terbuka.
“Ini berbeza dengan pendekatan tradisional yang lebih berpusatkan pensyarah. Namun, kekuatan ini perlu disokong dengan pemahaman asas pedagogi yang kukuh dan refleksi kritikal agar tidak terperangkap dalam trend semata-mata,” katanya mengakhiri perbualan.