Sepasukan petugas penyelenggaraan pesawat melaksanakan tanggungjawab mereka lebih awal dengan memeriksa segala peralatan bagi memastikan tiada kerosakan yang boleh mengancam keselamatan penerbangan.
Pada bahu mereka ada tanggungjawab besar terhadap ratusan nyawa di udara.
Daripada kebocoran kecil pada sistem hidraulik sehinggalah keretakan halus pada sayap pesawat, setiap butiran diperiksa dengan penuh ketelitian setiap hari.
Itulah tugasan yang dipertanggungjawabkan oleh Jurutera Pesawat Berlesen Cat B2 Avionics, Muhamad Sabbree Ismail, 36, yang perlu memeriksa setiap kerosakan pesawat dengan teliti.
“Walaupun orang lain fikir kami hanya pegang lampu suluh tetapi itulah antara tanggungjawab besar yang perlu dipikul untuk kumpulan ini.
“Ini kerana, setiap hari sudah pasti ada kerosakan berlainan pada pesawat. Saya akan periksa atau mencari wayar yang putus dalam pesawat sebelum memperbaikinya,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
Menurut Muhamad Sabbree, kerjaya tersebut merupakan impian dan cita-cita sejak kecil yang telah menjadi kenyataan.
Malah pengalaman yang tidak mungkin dilupakan beliau sepanjang bekerja dalam industri ini apabila dipilih untuk membawa pulang pesawat Airbus yang bermula dari kilang syarikat itu yang terletak di Hamburg, Jerman.
“Inilah pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan dan ingat sampai bila-bila kerana dalam ramai pekerja, saya salah seorang yang dipilih,” katanya.