Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengulangi ketegasan tidak akan melindungi sesiapa termasuk golongan kenamaan sekiranya didapati terlibat dalam kes membabitkan Zara Qairina Mahathir,13.
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, pihaknya juga bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes berkenaan.
"Isu ini dalam siasatan polis dan pihak KPM akan menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan.
"Cuma KPM hendak menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana isu yang berkaitan dengan isu buli, itu nombor satu.
"Nombor dua, KPM tidak akan dan tidak pernah pun cuba untuk melindungi sesiapa seperti yang dinyatakan," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dibangkitkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai spekulasi wujud penglibatan golongan kenamaan melibatkan kes Zara Qairina.
Kisah Zara Qairina mendapat liputan meluas, sama ada daripada media arus perdana mahupun warga maya, khususnya selepas jenazahnya dikeluarkan semula 23 hari selepas dikebumikan menerusi proses gali semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama di Sipitang, Sabah.
Pelajar Tingkatan Satu itu ditemui tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha di Papar pada 16 Julai dan meninggal keesokannya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Mengulas lanjut mengenai isu buli, Kah Woh berkata, kesemua kes membabitkan perkara tersebut atau disiplin disiasat menggunakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Katanya, KPM tidak sesekali berkompromi dengan sebarang kes buli yang berlaku di sekolah atau institusi melibatkan kementerian berkenaan.