Fadhlina
Fadhlina

Kes Zara Qairina: 'Jangan tambah cerita bukan - bukan, cetus fitnah'

08 Aug 2025 10:16am

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengingatkan orang ramai supaya tidak menambah cerita atau menyebarkan spekulasi tidak berasas berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang sedang disiasat bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan pihak berkuasa.

Beliau menegaskan, siasatan sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak seharusnya memberi laluan sepenuhnya kepada proses tersebut tanpa sebarang gangguan atau tindakan yang boleh menjejaskan integriti siasatan.

"Kita semua mahu keadilan, tetapi pada masa sama kita perlu beri ruang dan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Jangan tambah cerita yang bukan-bukan. Jangan cetuskan fitnah dan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik pada Khamis.

Fadhlina turut mengulas mengenai penularan gambar pelajar yang dikaitkan dengan kes berkenaan di media sosial, sambil mengingatkan bahawa perkara itu telah ditegaskan oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Peguam Negara, PDRM dan Menteri Komunikasi bahawa gambar kanak-kanak tidak boleh dipaparkan atau diedarkan.

Tegasnya, seruan itu sangat penting agar siasatan dapat dijalankan dengan kemas, telus dan berintegriti.

"Kita tidak mahu sebarang gangguan yang boleh menjejaskan proses mencari kebenaran," ujarnya.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memberi kerjasama penuh dalam siasatan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk fitnah terhadap mana-mana pihak termasuk guru atau pelajar.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada pihak yang terlibat, kita beri sepenuh komitmen terhadap siasatan. Namun, apabila muncul fitnah dan spekulasi yang tidak benar, kita mesti pastikan ia tidak terus tersebar.

"Laporan polis juga perlu dibuat untuk menjaga nama baik dan melindungi mereka yang sepatutnya dilindungi, khususnya anak-anak dan guru-guru kita," tegasnya.

Dalam pada itu, Fadhlina turut menggesa masyarakat agar mendukung proses siasatan dan mengelak daripada menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penyebaran maklumat serta gambar pelajar yang dikaitkan dengan kes kematian Zara Qairina yang telah dimuat naik di media sosial baru-baru ini disahkan tidak tepat.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya telah mengesan penyebaran maklumat berkenaan yang dikongsi oleh pihak tertentu di media sosial.

Beliau berkata, maklumat yang dikongsi adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp