Kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan dengan peningkatan kes buli di sekolah termasuk kes-kes kronik yang mengakibatkan kecederaan parah dan kehilangan nyawa.
Fenomena itu bukan sahaja merosakkan masa depan pelajar terlibat, malah mencemarkan imej institusi pendidikan sebagai tempat membina ilmu dan sahsiah.
Kajian menunjukkan, sebahagian besar kes buli berpunca daripada tekanan rakan sebaya, ketiadaan kemahiran menyelesaikan konflik dan kekurangan ruang sokongan emosi dalam kalangan pelajar.
Pendekatan disiplin semata-mata seperti hukuman gantung atau buang sekolah, walaupun penting belum cukup untuk membendung budaya buli.
Murid memerlukan teladan positif dan jaringan sokongan di peringkat akar umbi iaitu dalam kelompok rakan sebaya mereka sendiri.
Di sinilah konsep peer mentoring atau pembimbing rakan sebaya menjadi signifikan.
Pengakap sebagai rakan pembimbing di sekolah
Pergerakan Pengakap di sekolah bukan sekadar aktiviti kokurikulum, tetapi platform pembangunan sahsiah yang terbukti sejak lebih satu abad.
Prinsip Pengakap menekankan nilai hormat, tolong menolong, kepimpinan dan disiplin kendiri. Lebih daripada itu, pengakap menerapkan nilai pembangunan diri seperti keberanian, ketabahan dan integriti serta menyuburkan rasa kasih sayang sesama insan tanpa mengira latar belakang.
Melalui aktiviti kepengakapan, pelajar belajar mengurus diri, bekerjasama dan saling membantu. Aktiviti lapangan seperti perkhemahan, mendaki, kembara jalan kaki, orientering dan khidmat komuniti membina keyakinan, rasa hormat terhadap orang lain dan keupayaan memimpin dengan empati.
Dalam suasana sebegini, rakan sebaya menjadi lebih rapat dan saling melindungi daripada perlakuan negatif seperti buli.
Buli bukan sekadar masalah disiplin tetapi krisis nilai yang memerlukan usaha kolektif. Menjadikan pengakap sebagai pembimbing rakan sebaya adalah langkah proaktif membina budaya saling menghormati, empati, kasih sayang dan kepedulian.
Aktiviti lapangan dan kepengakapan membentuk pelajar yang bukan sahaja berani berkata 'tidak' kepada buli, malah berani berdiri mempertahankan rakan mereka.
Sekolah yang benar-benar mahu selamat perlu membina benteng daripada dalam bermula dengan rakan yang menjaga rakan, berasaskan kasih sayang dan semangat membina diri.
Maklumat penulis:
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, Shahrul Azwan Mohamad @ Endut
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my