Suasana penuh berprestij dan sarat aura kecemerlangan menyelubungi Hotel Wyndham Acmar Klang pada 6 dan 7 Ogos lalu, apabila berlangsungnya Karnival Seminar Aspirasi Naratif Inovasi Selangor 2025 (K-Semanis) peringkat antarabangsa.
Bukan sekadar karnival, majlis gilang-gemilang itu turut menjadi pentas bagi Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (MAPC) 2024 dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) 2024 yang dianjurkan Pejabat Pendidikan Daerah Klang (PPD Klang).
Gabungan tiga acara berprestij itu menjadi simbol penyatuan antara pengiktirafan kecemerlangan individu, pengukuhan mutu pendidikan dan komitmen terhadap inovasi. Ia bagaikan gelombang pembaharuan yang mahu diangkat dari bilik darjah hingga ke pentas dunia, daripada kaedah konvensional kepada pembelajaran berteraskan teknologi digital.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain berkata, karnival itu berjaya menghimpunkan lebih 450 reruai inovasi, 180 pembentangan kajian tindakan dan 220 sesi perkongsian amalan terbaik.
Katanya, sebahagian besar inovasi yang dipamerkan selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), membuktikan bahawa sekolah bukan lagi sekadar pusat pembelajaran, malah menjadi pencetus solusi bagi menangani cabaran masa depan.
“Klang memainkan peranan penting sebagai medan pameran kecemerlangan pendidikan yang inklusif dan mampan,” katanya.
'Lanun' bantu murid kuasai bahasa Inggeris
Idea kreatif sering lahir daripada perkara yang tidak dijangka dan bagi guru Bahasa Inggeris dari Sekolah Kebangsaan (SK) Rasa, Sharini Sabuddin segalanya bermula daripada permainan dalam talian.
Terinspirasi daripada Pirate Island, Sharini mengubah konsep permainan digital menjadi versi nyata bersaiz besar yang dinamakan ‘PiRead Island Game’.
Sasaran utama inovasi ini membantu murid yang lemah membaca sight words bahasa Inggeris iaitu perkataan mudah seperti was dan like.
Kebanyakan murid terlibat berada pada Tahap Penguasaan 2 (TP2) dan Tahap Penguasaan 3 (TP3) dalam kemahiran membaca. Selain kurang minat terhadap bahan bacaan berbentuk buku, latihan membaca di rumah juga sangat terhad.
Operasi asas matematik
Biarpun operasi asas Matematik seperti tambah, tolak, darab dan bahagi kelihatan mudah, hakikatnya masih ada segelintir murid yang bergelut untuk menguasainya.
Di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Methodist Kapar, seramai 13 murid dikenal pasti berdepan cabaran ini.
Guru, Jivamalar Selvaratnam, 39, mengeluarkan idea mencipta produk inovatif yang mengubah kaedah pembelajaran Matematik menjadi lebih interaktif, menyeronokkan dan difahami.
“Idea ini tercetus apabila kami teliti data pencapaian murid pemulihatan Tahun Satu. Walaupun mereka sudah mengenali nombor, namun masih tidak mahir atau gagal menguasai operasi asas matematik.
“Kami (guru Matematik) cuba selesaikan isu ini. Jadi, langkah pertama kami temu bual mereka terlebih dahulu.
“Selepas mengetahui minat masing-masing, tercetuslah inovasi ‘Mathezy’ iaitu kit Matematik dilengkapi permainan.
“Hasilnya, pelajar mula faham operasi asas Matematik dengan lebih baik, malah keyakinan mereka meningkat.
“Inovasi ini bukti bahawa dengan pendekatan kreatif, murid yang lemah asas Matematik boleh berjaya,” katanya.