Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim (SMAHMY) dominasi Festival TV PSS walaupun baru pertama kali menyertai pertandingan berprestij itu.
Sebanyak lima daripada enam anugerah yang dirangkul untuk kategori sekolah menengah dipertandingkan iaitu pengacara, pengarah, penyunting, skrip dan video terbaik.
Boleh dikatakan empat daripada lima kemenangan itu berhasil menempatkan sekolah mereka di tempat pertama dengan membawa pulang hadiah lumayan.
Guru Penyelaras TV PSS sekolah, Muhammad Afiq Md Jefari, 29, tidak menyangka anugerah yang pertama kali disertai itu mendapatkan perhatian sehingga membolehkan mereka memenangi beberapa anugerah penting.
“Pasukan kami memang berada pada tahap kosong kerana tidak tahu apa-apa tentang penyiaran, apatah lagi untuk menyertai mana-mana pertandingan.
“Secara rasmi, kelab TV PSS SMAHMY baharu sahaja ditubuhkan pada sesi persekolahan tahun ini dengan 10 kru.
“Saya juga sudah mula mencari pelapis untuk menggantikan pelajar yang akan tamatkan sesi persekolahan hujung tahun ini,” katanya selepas menerima lima anugerah di Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025 baru-baru ini.
Festival itu dianjurkan Akademi Pendidikan Sinar Bestari (APSB) bersama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) selama tiga hari dua malam pada 23 hingga 25 September dengan melibatkan 27 murid dan 16 guru daripada seluruh Malaysia.
Sepanjang tempoh itu, peserta juga mengikuti pelbagai pengisian aktiviti seperti bengkel bersama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), KDEB Waste Management (KDEB) dan podcast Bual Bestari.
Dalam pada itu, pencapaian yang diraih SMAHMY membuktikan peluang baharu mampu melahirkan kejayaan luar biasa apabila disertai dengan usaha gigih, semangat berpasukan dan keyakinan tinggi.
Muhammad Afiq mengakui banyak mengorbankan masa dan tenaga memperjuangkan kemampuan serta bakat anak-anak didiknya menjadi kru TV PSS yang hebat.
“Disebabkan SMAHMY merupakan sekolah Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT), jadi syarat wajib mereka perlu melepasi sukatan untuk hafazan.
“Kita tidak mahu kerana TV PSS ini, menyebabkan hafazan mereka menurun.
“Syarat kedua saya sebagai guru penyelaras ialah pelajar yang ada markah baik untuk akademik. Umum yang kita tahu, TV PSS ini melibatkan banyak aktiviti di luar bilik darjah mahupun sekolah. Jadi, tidak mahu kerana ini, pembelajaran mereka merosot,” katanya lagi.
Situasi ini memperlihatkan bahawa TV PSS bukan sekadar platform pertandingan, tetapi medan pelajar terus berkarya dan menunjukkan bakat.
Tunjuk bukti dahulu
Sekolah aliran agama atau tahfiz dilihat sebagai institusi yang menekankan ilmu syariah, hafazan dan nilai tradisi.
Bagaimanapun, dalam dunia pendidikan hari ini, media mula menjadi jambatan baharu yang menghubungkan pelajar dengan cara pembelajaran lebih kreatif dan berkesan.
Muhammad Afiq mengakui ada pihak lain yang bersuara apabila melibatkan anak didiknya dalam industri penyiaran.
Tegas Muhammad Afiq, dia akan membuktikan platform itu bukan sekadar hiburan semata, sebaliknya wadah untuk memperkukuhkan penyampaian ilmu sekali gus menyerlahkan bakat pelajar.
Dengan pendekatan berhati-hati dan berpaksikan bukti, SMAHMY bukan lagi ketinggalan dalam arus teknologi, malah semakin relevan dengan tuntutan zaman.
“Perlu pandang sudut positif, ia menjadi satu perkara yang menyenangkan atau mendatangkan kebaikan kepada kita.
“Walaupun pelajar tahfiz, saya mahu tolak naratif zaman sekarang apabila melibatkan soal agama, mereka seperti berfikiran jumud.
“Saya nak tolak itu supaya mereka boleh selari dengan pelajar sekolah lain atau lebih banyak lagi,” katanya.