Sebalik bukti, terbit minat

Iklan

Generasi muda MSU buktikan rasa ingin tahu mampu ubah masa depan

Pelajar Sains Forensik teruja apabila berada dalam bidang yang menguji minda dan memerlukan keberanian membuat tafsiran tepat.

Ada yang tertarik dengan kerja analisis makmal dan tidak kurang pula kagum melihat bukti kecil mampu merungkaikan sebuah kes.

Iklan
Iklan

Sains Forensik juga destinasi yang menyusun logik dan rasa ingin tahu dalam satu perjalanan penuh makna?

Itulah sebabnya, Sinar Bestari membawa adik-adik menyelami cerita inspirasi dan semangat pelajar dalam dunia Sains Forensik ini.

Iklan

Dulu Kejuruteraan, kini Sains Forensik

Pertukaran bidang Kejuruteraan kepada Sains Forensik mungkin kedengaran luar biasa, namun ia perjalanan yang mampu membuka dimensi baharu dalam dunia ilmu.

Iklan

Para pelajar sebelum ini sudah terbiasa dengan formula, reka bentuk dan struktur, namun kini melangkah ke arena penyiasatan saintifik yang menuntut ketelitian, fokus serta kemampuan membaca bukti.

Pelajar Sarjana Muda Sains Forensik Management & Science University (MSU), Amber Aleesa Danny, 23, berkata, perubahan haluan itu membuktikan bahawa minat sebenar mampu mengejar bidang yang lebih selari dengan jiwa.

Amber Aleesa

“Saya lebih berminat dengan Sains Forensik kerana mata pelajarannya tertumpu kepada Biologi dan Kimia, manakala bidang Kejuruteraan pula memfokuskan Fizik serta Kimia sahaja.

“Apabila dapat tahu saya lebih menyukai Biologi, kenapa tidak? Inilah sesuatu yang disukai. Saya juga suka misteri. Jadi saya cari kos ini di universiti yang menawarkannya.

“MSU tawarkan bidang ini dan ada banyak lagi perkara yang lebih menarik untuk diketahui seperti teori dan amali,” katanya kepada Sinar Bestari.

Dengan semangat ingin tahu yang tinggi, mereka mendapati bahawa setiap eksperimen dan analisis bukan sekadar tugasan akademik, tetapi satu usaha mengungkap kebenaran.

Naluri ingin tahu yang tinggi

Didorong oleh semangat ingin tahu yang tidak pernah padam, semakin ramai pelajar memilih meneroka dunia Sains Forensik iaitu bidang yang menguji ketajaman minda dan memerlukan keupayaan menganalisis setiap petunjuk dengan penuh teliti.

Bagi pelajar Sarjana Muda Sains Forensik MSU, Loke Huey Shyan, 22, persoalan merupakan peluang untuk mencari jawapan dan setiap misteri menjadi ruang pembelajaran yang membuka lebih banyak pintu pengetahuan.

Huey Shyan

“Minat mendalam terhadap penyiasatan saintifik inilah yang mendorong generasi muda hari ini terutama saya untuk menyambung pengajian dalam bidang forensik demi memahami bagaimana bukti kecil mampu merungkaikan cerita besar di sebalik setiap kes.

“Saya mahu tahu segala-galanya. Apabila telah mengetahuinya, kita akan rasa ‘wow’, ‘luar biasa’ dan sangat menakjubkan untuk sesuatu perkara itu,” katanya.

Ditanya tentang masa hadapannya, Huey Shyan mengakui akan meneruskan pembelajaran dalam bidang ini dan akan mempelajari forensik dengan lebih mendalam terutama bidang Forensik Marin.

“Forensik Marin ini lebih berkaitan dengan kes kemalangan melibatkan air atau persekitaran air.

“Ia bukan sahaja berlaku kepada kemalangan di darat, tetapi juga di air. Jika berpeluang, saya akan menjelaskan lebih lanjut kepada semua orang tentang Forensik Marin.

“Banyak sebenarnya kes yang berlaku di dalam air tetapi tidak diketahui oleh orang ramai,” katanya lagi.

Misteri di makmal

Setiap kali melangkah ke makmal, suasana penuh fokus dengan eksperimen itulah yang paling menghidupkan rasa minat dalam diri.

Dari keseronokan bekerja dengan sampel sehingga ketelitian mengendalikan peralatan, semuanya membawa kepada keputusan memilih Forensik Toksikologi sebagai haluan pengajian.

Forensik Toksikologi merupakan satu cabang penting yang memerlukan ketelitian tinggi di dalam makmal.

Kirubalani

Itulah impian yang diharapkan Kirubalani Maruthuvanan, 24, selepas menamatkan pelajaran di MSU selepas empat tahun.

Katanya, bidang ini bukan sahaja membuka peluang menjalankan analisis, namun ia membolehkan pengurusan pelbagai elemen, bahan dan alat makmal.

“Aktiviti ini benar-benar selari dengan minat dan kecenderungan pembelajaran yang lebih praktikal.

“Bukan itu sahaja, bidang ini akan menguruskan sebahagian besar elemen-elemen yang berada dalam makmal dengan baik,” katanya.

Kirubalani juga mengakui amat minat bekerja di makmal sekali gus menjadikan pilihan ini lebih bermakna, sesuai dengan kecenderungan dan kemahirannya.