Bukan semua peluang hadir dengan mudah, ada yang perlu direbut dan tidak kurang juga dibina dengan keberanian.
Demi memastikan impian anak didiknya tidak terhenti di sempadan pagar sekolah, Guru Cemerlang Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Nur Shazana Ahmad Bzayaddin menggerakkan inisiatif sendiri demi membuka peluang kepada pelajar merasai pengalaman di Jakarta, Indonesia.
“Kami mendapat tajaan sekitar RM7,500 daripada ibu bapa pelajar dan sumbangan daripada rakan-rakan guru untuk ke sana.
“Ada juga daripada Nasi Kukus Pahlawan Merah, Golden Mizab Engineering, Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah dan Masjid Ibnu Abbas.
“Perbelanjaan ini merangkumi pembelian baju untuk pertandingan, tiket penerbangan pergi dan balik, penginapan, pengangkutan, makan serta minum, duit perbelanjaan murid murid dan juga yuran pendaftaran,” katanya kepada Sinar Bestari.
Pertandingan itu bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya menjadi platform memperkayakan ilmu, mengasah keyakinan dan membina jati diri pelajar.
Dengan tekad yang tidak pernah surut, Nur Shazana membuktikan bahawa peranan pendidik bukan hanya menyampaikan silibus, tetapi mencipta peluang agar anak didik berani bermimpi dan berusaha lebih jauh.
Sorakan gemuruh menguasai Thamrin Nine Ballroom, Jakarta apabila International Robothon edisi ke-20 itu menghimpunkan peserta dari Malaysia, Vietnam, Filipina, Indonesia, India dan Thailand.
Penyertaan pertama dari India tahun ini menjadi bukti bahawa bidang robotik yang menekankan pendidikan Sains, Teknologi, Jurutera dan Matematik (STEM) semakin berkembang pesat di rantau Asia.
Dengan tema TERRA PROTOCOL, Rebuilding Earth with Sustainable Innovation, sebanyak 85 pasukan bertanding mempersembahkan projek berasaskan robotik, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital kembar untuk menangani isu industri sebenar.
Usaha ketiga baru jadi juara
Apa yang bermula sebagai satu percubaan sederhana pada tahun 2023, kini berubah menjadi satu perjalanan luar biasa buat Nur Shazana dan pasukan robotik bimbingannya.
Dari kejayaan meraih tempat ketiga peringkat kebangsaan serta Anugerah Distinction yang membuka laluan ke Bangkok pada 2024, sokongan dan kepercayaan terhadap kebolehan pelajar terus diperkukuh.
Tahun berikutnya, Nur Shazana kembali mempertaruhkan dua pasukan, meskipun hanya satu berjaya meraih kemenangan.
“Semangat yang tidak pernah luntur, pada Disember 2024, tiga pasukan dibawa ke Bangkok, Thailand termasuk pasukan yang pernah pulang tanpa sebarang pingat sebelum ini.
“Tetapi hasilnya, tiga pencapaian membanggakan diraih di pentas antarabangsa iaitu juara Kategori Expert, tempat ketiga kategori sama dan naib juara Kategori Elite. Dan tahun 2025, menjadi satu lagi taruhan baharu dengan tekad tidak pernah goyah,” katanya lagi.
Tugas hakiki guru juga berat
Menjadi guru bukan sekadar berdiri di hadapan kelas dan menyampaikan ilmu, sebaliknya menuntut pengorbanan masa, tenaga serta emosi yang tidak terlihat oleh mata ramai.
Itulah realiti dilalui Nur Shazana yang tanpa jemu membimbing pelajarnya dalam bidang robotik, walaupun berdepan pelbagai kekangan.
Sejak penyertaan pertama pada tahun 2023, dirinya hampir berputus asa akibat tugas yang bertindih antara tanggungjawab hakiki sebagai pendidik, persiapan kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan urusan keluarga.
“Anak sulung saya pula perlu menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA tahun ini. Ini belum lagi masalah peralatan robot yang selalu rosak, selain keperluan mencari dana supaya pelajar dapat bertanding,” katanya.
Namun bagi Nur Shazana, semangat pelajar jadi kekuatan terbesar untuk terus melangkah.