RPTM 2026-2035: Memacu lonjakan pendidikan tinggi negara, menyuburkan bakat masa depan

Iklan
Antara teras paling signifikan dalam RPTM ialah penekanan terhadap Lonjakan 3: Kompetensi TVET Termaju, yang meletakkan TVET sebagai tunjang kepada daya saing masa depan Malaysia. Foto: Canva. Gambar kecil: Dr Massila

"Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya." Begitulah hakikatnya dalam dunia yang bergerak sepantas kilat hari ini yakni teknologi berubah seperti musim, keperluan industri berkembang tanpa menunggu dan landskap pekerjaan pula semakin kompleks serta mencabar.

Dalam suasana sebegini, pendidikan tinggi tidak lagi boleh beroperasi dengan acuan lama, apatah lagi berpuas hati dengan kejayaan semalam. Universiti perlu bergerak dengan ketangkasan baharu, berfikir melangkaui kebiasaan dan memimpin perubahan yang sedang membentuk masa depan negara.

Iklan
Iklan

Justeru, pembentangan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 oleh Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini wajar dilihat sebagai kompas nasional yang menyusun semula hala tuju pendidikan tinggi negara supaya ianya bukan sekadar untuk kekal relevan, tetapi untuk mendahului gelombang perubahan.

RPTM 2026-2035 hadir sebagai strategi transformasi menyeluruh yang menghubungkan universiti, industri, kerajaan dan masyarakat dalam satu ekosistem pembangunan bakat yang lebih berimpak tinggi. Dalam konteks ini, pendidikan tinggi bukan lagi sekadar soal kelayakan, tetapi soal daya saing negara, produktiviti ekonomi dan maruah bangsa.

Iklan

Kita tidak boleh lagi melahirkan graduan yang hanya 'tahu', tetapi perlu membina generasi yang mampu menyumbang, mencipta nilai, dan memimpin inovasi. Maka, semangat RPTM menuntut universiti untuk menjadi pemacu kepada perubahan serta membina laluan baharu yang lebih fleksibel, lebih relevan dan lebih dekat dengan realiti industri.

Antara teras paling signifikan dalam RPTM ialah penekanan terhadap Lonjakan 3: Kompetensi TVET Termaju, yang meletakkan TVET sebagai tunjang kepada daya saing masa depan Malaysia. TVET tidak boleh lagi dianggap laluan kedua, sebaliknya mesti diangkat sebagai laluan strategik negara untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersifat future-ready dan industry-relevant.

Iklan

Keperluan ini semakin mendesak dalam bidang kritikal seperti Kecerdasan Buatan (AI), Applied AI, Pembuatan Termaju dan Aeroangkasa, kerana masa depan tidak menunggu kita bersedia, kitalah yang perlu bersedia mendahului masa depan. Universiti yang benar-benar memahami tuntutan zaman akan membina kurikulum yang berpaksikan aplikasi sebenar, memperkukuh pembelajaran berasaskan industri dan memastikan graduan bukan sekadar boleh bekerja, tetapi mampu memimpin perubahan dalam ekosistem pekerjaan baharu.

Namun, kompetensi semata-mata tidak memadai jika penyelidikan dan inovasi tidak mampu menyelesaikan masalah sebenar. Di sinilah Lonjakan 6: RDICE Bertanggungjawab menjadi nadi kepada pembangunan negara yang mampan.

Penyelidikan yang bermakna bukan yang sekadar tersimpan dalam laporan, tetapi yang hidup dalam tindakan dan memberi kesan kepada manusia. Universiti perlu menjadi problem solver kepada industri dan komuniti, melahirkan inovasi yang boleh diterjemahkan kepada teknologi, produk, perkhidmatan dan manfaat sosial.

Dalam dunia yang dipacu inovasi, penyelidikan yang bertanggungjawab juga mesti berteraskan etika, kerana setinggi mana pun teknologi menjulang, nilai insan tetap menjadi tunjang.

Seiring itu, Lonjakan 1: Pembelajar Berpaksi Kemanusiaan, Keusahawanan dan Adaptif mengingatkan kita bahawa pembangunan teknologi dan kepakaran semata-mata tidak mencukupi tanpa pembinaan nilai dan jiwa.

Teknologi tanpa nilai hanyalah mesin dan ilmu tanpa jiwa hanyalah angka. Justeru, pendidikan tinggi perlu mengimbangi kecanggihan high-tech dengan sentuhan high-touch, melahirkan graduan yang bukan sahaja cekap dan kompeten, tetapi juga beretika, berdaya tahan, dan mampu menyesuaikan diri. Masa depan bukan milik yang paling kuat, tetapi milik yang paling mampu beradaptasi.

Dalam menterjemahkan aspirasi ini, contoh kejayaan institusi teknikal seperti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menunjukkan bahawa lonjakan pendidikan tinggi bukan sekadar slogan, tetapi boleh dizahirkan melalui tindakan yang terancang dan berimpak.

UTeM misalnya mencatatkan 21,261 enrolmen pelajar pada tahun 2025, dengan 14,695 daripadanya pelajar prasiswazah dalam bidang TVET serta mensasarkan 37,500 enrolmen menjelang 2030 selari peluasan TVET termaju dan laluan pembelajaran fleksibel.

Keupayaan universiti dalam memacu inovasi juga dibuktikan melalui kerjasama strategik bersama industri, termasuk penerimaan dua geran penyelidikan bernilai USD100,420 bagi pembangunan AI, serta pelaksanaan inovasi komuniti seperti e-mobiliti, sistem amaran pintar dan teknologi berimpak sosial.

Dalam masa yang sama, kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi serta pencapaian pelajar di peringkat antarabangsa memperlihatkan bahawa ekosistem pendidikan tinggi yang berorientasikan industri dan kemanusiaan mampu melahirkan bakat premium untuk negara.

Akhirnya, kejayaan RPTM 2026–2035 tidak boleh dipikul oleh universiti semata-mata. Ia menuntut kebersamaan nasional dan kerajaan sebagai pemudah cara dasar, industri sebagai rakan strategik, universiti sebagai pemacu ilmu dan inovasi serta masyarakat sebagai penerima manfaat dan penyumbang aspirasi.

RPTM membuka ruang untuk kita menyusun langkah dengan lebih tersusun, lebih berani dan lebih strategik. Dan jika kita benar-benar mahu Malaysia kekal berdaya saing, lonjakan ini bukan pilihan, tetapi keperluan. Kerana masa depan tidak menunggu sesiapa dan negara yang bijaksana ialah negara yang memilih untuk mendahului.

Maklumat penulis

Naib Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my