Budaya berhutang 'Buy Now Pay Later' dalam kalangan belia semakin membimbangkan: Perspektif Ekonomi Islam

Iklan
Gambar hiasan

Penggunaan Buy Now Pay Later (BNPL) dalam kalangan anak muda generasi kini semakin meluas dan kian dinormalisasi. Isu ini menimbulkan kebimbangan kerana penggunaan BNPL yang berleluasa ini dapat menjejaskan kewangan generasi muda. Buy Now Pay Later ini didefinisikan sebagai sejenis pinjaman secara ansuran yang membantu individu untuk membeli sesuatu barangan dahulu dengan pantas tanpa membuat bayaran terus kepada peniaga.

Sebagai contoh, seseorang boleh mendapatkan barangan yang harganya melebihi jumlah simpanan dan membayar secara ansuran pada bulan-bulan seterusnya. Kemudahan ini menyebabkan ramai belia menyalahgunakan BNPL yang menyebabkan generasi muda mudah berhutang demi memenuhi keperluan dan kehendak. Menurut laporan dari Suruhanjaya Kredit Pengguna (2026), setakat Disember 2025, terdapat 14 penyedia bagi BNPL termasuk empat penyedia BNPL yang mengikut syariah seperti Tiktok dengan peratusan pemegang akaun aktif BNPL sebanyak 10.3 peratus, SPayLater sebanyak 55.3 peratus, Atome sebanyak 23.5 peratus, dan PayLater by Grab iaitu sebanyak 7.5 peratus.

Iklan
Iklan

Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada penggunaan BNPL dalam kalangan muda generasi kini. Antaranya ialah faktor FOMO (Fear of Missing Out) dalam kalangan generasi muda iaitu tekanan sosial and keinginan untuk terus seiring dengan trend semasa sehingga menyebabkan mereka membuat pembelian secara besar-besaran menggunakan kemudahan BNPL. Contohnya, pempengaruh media sosial mempromosikan fesyen terkini dan gaya hidup mewah yang menyebabkan anak muda yang terdedah kepada kandungan tersebut mudah terjebak dengan apa yang dipaparkan sehingga menjadi ikutan.

Selain itu, BNPL dapat memberikan kepuasan serta-merta kepada pengguna kerana mereka tidak perlu menunggu sehingga duit mencukupi untuk membeli sesuatu barangan yang diingini. Dalam perspektif ekonomi Islam, hukum hutang adalah harus, namun berubah mengikut situasi. Sekiranya seseorang itu berada dalam kesuntukan masa dan terdesak untuk menolong keluarganya, maka hukum berhutang berubah menjadi wajib.

Iklan

Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 283 yang bermaksud “Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya".

Menurut Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, syariah menggalakkan sifat tanggungjawab dalam berbelanja dan mengawal aspek kewangan dengan baik supaya pengguna memperoleh kebaikan dan mengurangkan risiko apabila berbelanja. Maka, seseorang itu mestilah mengetahui kemampuan dalam berbelanja untuk mengelak hutang yang melebihi kemampuan sendiri.

Iklan

Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Furqan ayat 67 menjelaskan bahawa umat Islam (hamba Allah) adalah mereka yang apabila berbelanja tidak berlebihan atau terlalu kedekut, sebaliknya hanya bersederhana dalam setiap urusan kewangan. Prinsip wasatiyyah iaitu kesederhanaan dalam Islam menuntut umatnya mengimbangi antara keperluan dan kehendak.

Oleh itu, penggunaan BNPL untuk memenuhi kehendak pengguna yang berlebihan amat bercanggah dengan syariah Islam kerana tidak mengamalkan sifat bersederhana dalam berbelanja. Penggunaan kemudahan BNPL secara tidak bertanggungjawab membawa kepada pelbagai kesan negatif kepada pengguna. Antara kesan negatif penggunaan BNPL ialah beban caj bayaran lewat yang tinggi sekaligus meningkatkan jumlah pembayaran balik. Caj bayaran lewat berlaku apabila pengguna lewat membayar daripada tarikh yang telah ditetapkan.

Walaupun terdapat BNPL dengan polisi 0 peratus untuk bayaran ansuran, pengguna masih akan dikenakan caj bayaran lewat sekiranya terlepas pandang atau leka dengan pembayaran semula. Selain itu, kesan negatif kemudahan BNPL adalah menggalakkan pembelian secara impulsif dan berlebihan. Hal ini dikatakan demikian kerana pengguna merasakan mampu untuk berbelanja lebih tanpa memikirkan jumlah hutang yang harus dibayar kelak.

Sekiranya sifat berbelanja pengguna tidak dikawal, ia akan menyebabkan masalah kewangan di kemudian hari apabila sukar mendapatkan jumlah yang perlu dibayar. Maka, pengguna BNPL terutamanya dalam konteks ini iaitu generasi muda perlulah berwaspada dan berhati-hati ketika menggunakan kemudahan BNPL ini dan mengetahui kesan-kesan negatif yang wujud bagi kemudahan ini. Isu penggunaan kemudahan BNPL yang semakin meningkat ini perlu ditangani supaya dapat mengurangkan risiko dari aspek kewangan kepada anak muda.

Oleh itu, usaha memperkukuh literasi kewangan perlu ditingkatkan. Menurut Second National Strategy for Financial Strategy (NS2.0), antara fokus utama adalah mempromosikan pengurusan kewangan yang baik. Generasi muda mestilah mewujudkan kemahiran dalam pengurusan kewangan sejak usia muda kerana isu kewangan akan berubah menjadi lebih kompleks apabila menginjak dewasa. Kajian pada tahun 2023 yang melibatkan 3,094 pelajar telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan dengan 77 peratus dan 64.1 peratus mempunyai pengetahuan kewangan dan sifat menguruskan kewangan dengan baik.

Namun, hanya 17.6 peratus pelajar menunjukkan tingkah laku dalam menguruskan kewangan dengan baik. Hal ini menunjukkan bahawa pengetahun yang tinggi dalam pengurusan kewangan tidak menunjukkan bahawa mereka mengaplikasikan dalam kehidupan harian. Satu kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2022 juga menunjukkan skor literasi kewangan pelajar universiti dan kakitangan IPT ialah 67 peratus. Namun, kajian ini juga membuktikan tahap keberhutangan yang membimbangkan.

Oleh itu, belia mestilah mengamalkan pengurusan kewangan yang baik dalam kehidupan harian serta merancang kewangan jangka panjang. Apabila pengetahuan kewangan dipraktikkan, kemudahan BNPL dapat digunakan secara berhemah dan dapat mengelakkan penggunaan BNPL secara berlebihan sehingga mendorong jumlah hutang yang banyak pada masa akan datang. Perancangan kewangan yang baik adalah selaras dengan prinsip Islam yang menggalakkan sikap berhemat dalam berbelanja, mengelakkan pembaziran dan mengurus harta secara bertanggungjawab.

Kesimpulannya, kemudahan BNPL menjadi semakin berleluasa dalam kalangan belia kerana ia menawarkan bayaran secara ansuran yang memudahkan urusan pembayaran ketika membeli sesuatu barang. Namun, penggunaan yang tidak berhemah dan tidak terkawal dalam menggunakan kemudahan ini membawa kepada banyak risiko seperti masalah hutang yang seterusnya melibatkan tekanan emosi. Perspektif ekonomi Islam pula menyatakan penggunaan kemudahan kewangan seperti BNPL mestilah berlandaskan prinsip kesederhanaan bagi mengelakkan kemudararatan.

Oleh itu, peningkatan literasi kewangan serta kesedaran tentang tanggungjawab menguruskan hutang perlu diperkukuhkan supaya golongan muda dapat memanfaatkan BNPL serta mencapai tahap pengurusan kewangan yang cemerlang selaras dengan maqasid Syariah. Hal ini penting bagi melahirkan generasi muda yang bebas daripada belenggu hutang dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mampan.