Dalam dunia yang semakin mencabar dari sudut ekonomi, masyarakat kini mempunyai pelbagai pilihan dalam mengurus kewangan mereka. Salah satu sistem yang semakin mendapat perhatian ialah perbankan Islam.
Malaysia merupakan antara negara yang menjadi peneraju dalam industri kewangan Islam di peringkat global. Namun begitu, masih terdapat segelintir masyarakat yang mempunyai persepsi bahawa perbankan Islam tidak banyak bezanya dengan perbankan konvensional.
Ada yang beranggapan sistem ini hanya menukar istilah Arab tanpa membawa perubahan yang signifikan kepada transaksi kewangan. Persoalannya, adakah persepsi ini benar atau sekadar salah faham terhadap konsep sebenar perbankan Islam?
Perbankan Islam merupakan sistem kewangan yang beroperasi berdasarkan prinsip Syariah. Sistem ini dibangunkan untuk memastikan setiap urusan kewangan mematuhi hukum Islam serta mengelakkan unsur-unsur yang dilarang seperti riba, gharar dan maisir.
Riba merujuk kepada keuntungan yang diperoleh melalui faedah yang dikenakan ke atas pinjaman, manakala gharar merujuk kepada ketidakpastian yang melampau dalam sesuatu kontrak. Maisir pula merujuk kepada unsur perjudian atau spekulasi yang boleh menyebabkan kerugian kepada salah satu pihak. Larangan terhadap riba mempunyai asas yang kukuh dalam Islam.
ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud:"Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba".
Ayat ini menjadi asas kepada pembangunan sistem kewangan Islam yang mengutamakan keadilan, ketelusan dan kesejahteraan dalam setiap transaksi ekonomi. Walaupun konsep ini telah lama diperkenalkan, masih ramai yang beranggapan bahawa perbankan Islam dan perbankan konvensional adalah perkara yang sama.
Antara alasan yang sering diberikan ialah kadar keuntungan yang dikenakan oleh bank Islam dilihat hampir sama dengan kadar faedah yang ditawarkan oleh bank konvensional.
Sebagai contoh, apabila seseorang membeli rumah melalui pembiayaan Islam, jumlah bayaran bulanan yang perlu dijelaskan mungkin tidak jauh berbeza dengan pinjaman perumahan konvensional. Situasi ini menyebabkan sebahagian masyarakat membuat kesimpulan bahawa kedua-dua sistem tersebut tidak mempunyai perbezaan yang ketara.
Namun begitu, hakikat sebenar menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang jelas dari segi konsep dan pelaksanaan. Dalam sistem konvensional, keuntungan diperoleh melalui faedah yang dikenakan ke atas wang yang dipinjamkan. Sebaliknya, perbankan Islam melibatkan transaksi yang berasaskan aset atau aktiviti ekonomi sebenar.
Sebagai contoh, dalam kontrak Murabahah, bank akan membeli aset yang dikehendaki pelanggan terlebih dahulu sebelum menjualnya semula kepada pelanggan dengan kadar keuntungan yang telah dipersetujui. Ini bermakna keuntungan yang diperoleh adalah hasil daripada aktiviti jual beli yang sah dan bukannya melalui faedah ke atas pinjaman.
Selain itu, setiap produk yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam perlu melalui proses semakan dan kelulusan Jawatankuasa Syariah. Jawatankuasa ini bertanggungjawab memastikan semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mematuhi prinsip Syariah.
Langkah ini menunjukkan bahawa perbankan Islam bukan sekadar menggunakan istilah Islam, malah mempunyai mekanisme pemantauan yang ketat bagi menjamin kepatuhan terhadap hukum Islam.
Perkara ini menjadi salah satu faktor utama yang membezakan sistem kewangan Islam daripada sistem kewangan konvensional.
Dari sudut ekonomi pula, perbankan Islam mempunyai matlamat yang lebih luas berbanding keuntungan semata-mata. Sistem ini menitikberatkan konsep keadilan sosial dan kesejahteraan masyarakat.
Melalui instrumen seperti zakat, wakaf dan pembiayaan patuh Syariah, institusi kewangan Islam dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih seimbang.
Prinsip perkongsian keuntungan dan risiko yang diamalkan juga membantu mengurangkan eksploitasi terhadap pihak yang lebih lemah dalam urusan kewangan. Pendekatan ini selaras dengan objektif Syariah yang bertujuan menjaga kepentingan manusia serta mewujudkan kesejahteraan hidup. Walau bagaimanapun, perbankan Islam masih berdepan dengan pelbagai cabaran.
Antaranya ialah tahap literasi kewangan Islam yang masih rendah dalam kalangan masyarakat. Ramai pengguna hanya mengetahui kewujudan produk perbankan Islam tetapi kurang memahami konsep di sebalik produk tersebut.
Akibatnya, mereka mudah membuat tanggapan bahawa perbankan Islam hanyalah versi Islam kepada sistem konvensional. Selain itu, institusi kewangan Islam juga perlu terus berinovasi bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin kompleks tanpa mengabaikan prinsip Syariah.
Cabaran lain ialah persaingan yang sengit dalam sektor kewangan global.
Perbankan Islam perlu membuktikan bahawa sistem ini bukan sahaja mematuhi tuntutan agama, malah mampu bersaing dari segi kecekapan, teknologi dan kualiti perkhidmatan. Dalam era digital hari ini, pelanggan mahukan perkhidmatan yang pantas, mudah dan selamat.
Oleh itu, institusi kewangan Islam perlu memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan daya saing serta menarik lebih ramai pelanggan, khususnya golongan muda.
Selain memberi manfaat kepada individu, perbankan Islam turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Industri kewangan Islam yang kukuh dapat menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil.
Pada masa yang sama, prinsip-prinsip Syariah yang diterapkan dapat membantu membentuk sistem kewangan yang lebih beretika dan bertanggungjawab.
Keadaan ini menunjukkan bahawa perbankan Islam bukan sahaja relevan kepada umat Islam, malah berpotensi memberi manfaat kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang agama.
Kesimpulannya, persepsi bahawa perbankan Islam sama seperti perbankan konvensional adalah kurang tepat kerana kedua-duanya berbeza dari segi prinsip, konsep dan pelaksanaan.
Walaupun terdapat persamaan tertentu dari sudut operasi dan kadar keuntungan, asas yang digunakan oleh perbankan Islam adalah berteraskan Syariah serta menolak unsur riba dan ketidakadilan.
Oleh itu, masyarakat perlu memahami realiti sebenar perbankan Islam sebelum membuat sebarang penilaian. Dengan kefahaman yang lebih mendalam, perbankan Islam berpotensi menjadi sistem kewangan yang bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih adil, stabil dan mampan untuk generasi akan datang.
Maklumat Penulis:
1. Mahasiswa Tahun 2 Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Nur Afrina Balqis Azha
2. Pensyarah Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr. Jaharudin Padli