Revolusi pendigitalan menunjukkan tahap kejayaan manusia dalam menelusuri bidang digital yang pada mulanya hanya menggunakan analog dan mekanikal. Revolusi digital melibatkan beberapa sektor. Antara kesannya jelas dapat dilihat pada sektor kewangan dan perniagaan.
Sebagai contoh, proses pembayaran terhadap sesuatu benda dapat dilakukan secara atas talian. Hal ini dapat memudahkan urusan pembayaran jual beli antara penjual dan pembeli dengan lebih pantas.
Apakah itu BNPL atau disebut sebagai Buy Now, Pay Later? Dalam Bahasa Melayu disebut sebagai Beli Sekarang, Bayar Kemudian. BNPL merupakan satu kemudahan pembayaran digital yang mengubah corak perbelanjaan dan memudahkan pengguna untuk membeli barang atau perkhidmatan secara segera tanpa memerlukannya untuk membuat bayaran penuh pada waktu yang sama.
Bayaran semula dilakukan secara ansuran sama ada 3 kali, 4 kali, 6 kali atau 12 kali bayaran. Namun, ada juga bayaran penuh yang boleh dilakukan hanya 1 kali bayaran pada satu bulan berikutnya. Kaedah BNPL ini sangat terkenal dalam kalangan Gen-Z (Generasi Z) dan pengguna e-dagang. Antara platform-platform yang digunakan adalah Splaylater, Tiktok PayLater dan Atome.
BNPL menjadi terkenal kerana sistemnya yang senang digunakan dan pantas dalam meluluskan pembayaran tanpa memerlukan kad kredit. Pengguna kini mudah dipengaruhi oleh media sosial.
Sebagai contoh, budaya FOMO (Fear Of Missing Out) di kalangan Gen-Z yang membawa kepada pembelian impulsif iaitu pembelian yang tidak terkawal hanya disebabkan mahu mengikuti trend semasa. Oleh hal yang demikian, pengguna akan terus membuat pembayaran tanpa memikirkan hutang yang akan ditanggungnya nanti.
Dalam aspek ekonomi Islam, Islam membenarkan jual beli dan berhutang. Namun, Islam juga melarang riba, israf atau tabzir, gharar dan penindasan kewangan terhadap orang lain. Hutang (Al-Qard) adalah penyerahan sesuatu barang atau harta oleh pemberi hutang kepada penghutang dengan syarat penghutang perlu mengembalikan semula barang itu atau sesuatu yang sama nilai dengannya kepada pemilik asal tanpa sebarang tambahan. Menurut firman Allah SWT;
“Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
Surah al-Baqarah (275)
Penghutang bertanggungjawab untuk memulangkan kembali barang yang sama atau serupa kepada pemiutang tanpa apa-apa tambahan atau kurangan terhadap barang atau harta tersebut.
Hukum berhutang adalah harus. Contoh yang dapat diberikan adalah penggunaan BNPL dalam kehidupan manusia. Penggunaan BNPL diperbolehkan. Namun, apabila pengguna menangguh pembayaran semula hutang tersebut, pengguna akan dikenakan bayaran tambahan sebagai denda yang membawa kepada unsur riba. Riba merujuk kepada bayaran hutang yang diberikan secara lebihan atau tambahan kepada pemiutang.
Hukum syarak bagi riba adalah haram di sisi Islam kerana membawa unsur penindasan kewangan pada orang lain. Dalam ekonomi Islam, untung yang datang dari unsur penindasan kewangan terhadap orang lain adalah tidak halal. Dalam ekonomi islam, keuntungan mestilah datang bersama usaha serta risiko dan bukan melalui riba atau untung palsu.
Penggunaan BNPL kini kian terkenal dalam kalangan muda. Kesan utamanya jelas menyebabkan pembelian yang tidak terkawal (impulsif). Sikap mudah terpengaruh oleh media sosial dan sekeliling memberi tindak balas pengguna untuk membuat pembelian segera tanpa memikirkan kemampuannya sendiri.
Sebagai contoh, setiap kali syarikat Apple melancarkan model Iphone terbaharu, terdapat segelintir pengguna yang ingin memilikinya sehinggakan sanggup menggunakan kemudahan BNPL untuk berhutang demi mendapatkan model terbaharu tersebut gara-gara pengaruh trend semasa. Keadaan ini dapat ditakrifkan seperti berbelanja mengikut kehendak dan bukan keperluan.
Seterusnya, kesan penggunaan BNPL yang salah boleh menyebabkan masalah kewangan. Perbelanjaan yang melebihi kemampuan untuk membayar balik akan memberi tekanan kepada pengguna di masa hadapan kerana wang yang tidak mencukupi apabila tiba tarikh pembayaran.
Kegagalan pengguna untuk melunaskan bayaran balik dalam tempoh yang ditetapkan berpotensi meningkatkan kadar faedah sehingga jumlah yang perlu dibayar meningkat berlipat kali ganda dari jumlah asal. Memang tidak dapat dinafikan lagi, Islam amat menggalakkan hidup secara bersederhana (wasatiyyah) untuk mengelakkan beban hidup manusia.
Pada waktu yang sama, BNPL juga mengandungi manfaat-manfaatnya jika digunakan secara betul dan bijak. Antaranya dapat membantu pengguna ketika dalam kecemasan iaitu keadaan dimana pengguna sangat memerlukan wang secara segera. Hukum berhutang berubah mengikut keadaan. Jika penghutang ingin meminjam untuk membiayai keluarganya atau keperluan asas, maka adalah wajib baginya untuk berhutang.
BNPL secara tidak langsung merupakan satu bentuk toleransi dan kemudahan yang disediakan antara pengguna dan penjual. Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.A, beliau berkata;
“Nabi SAW pernah membeli makanan daripada seorang yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi Baginda SAW.”
Riwayat al-Bukhari (2068)
Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah beramal dengan transaksi jual beli secara bertangguh. Oleh yang demikian, jual beli sebegini adalah harus dan boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.
Intihanya, kemudahan BNPL mempunyai manfaat dan keburukan yang tersendiri bergantung kepada cara penggunaannya. Inovasinya yang menawarkan kemudahan dalam aliran tunai bukan lesen untuk berbelanja melebihi batas kemampuan yang akhirnya menjejaskan kestabilan hidup individu.
Penggunaan yang bijak mampu membawa kepada kemudahan namun sebaliknya, penyalahgunaan membawa kepada beban kehidupan.
Jika dilihat dari perspektif ekonomi Islam, hutang merupakan perkara yang diperlukan. Namun, penggunaan dan tatacara nya perlulah berlandaskan hukum syariat yang telah ditetapkan dalam Islam. Islam tidak menolak kemudahan, akan tetapi mendidik umat islam
agar sentiasa berhati-hati dalam menguruskan kewangan. Islam menekankan untuk berbelanja mengikut keperluan bukan kehendak, serta berhutang jika berada dalam keadaan darurat sahaja agar memastikan kesejahteraan dan memperoleh keberkatan dalam setiap urusan muamalat pengguna.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Dua Program Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Siti Nur Amni Farha Mohd Rosli
2) Pensyarah Kanan merangkap Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam UMT, Dr Jaharudin Padli