Dalam era globalisasi ini, kemajuan teknologi digital telah membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat, termasuk cara pengguna membuat pembayaran dan mengurus kewangan. Jika suatu ketika dahulu pembelian hanya boleh dilakukan menggunakan wang tunai atau kad kredit, kini pelbagai inovasi kewangan diperkenalkan bagi memudahkan urusan pengguna. Salah satu inovasi yang semakin mendapat perhatian ialah Buy Now, Pay Later (BNPL) atau “Beli Sekarang, Bayar Kemudian”.
Kemudahan ini membolehkan pengguna mendapatkan sesuatu barangan atau perkhidmatan terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran secara ansuran dalam tempoh tertentu. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, BNPL semakin popular di Malaysia, khususnya dalam kalangan golongan muda yang aktif menggunakan platform e-dagang. Kemudahan pendaftaran yang mudah, proses kelulusan yang pantas serta pilihan pembayaran yang fleksibel menjadikan BNPL semakin mendapat sambutan.
Pada masa yang sama, peningkatan kos sara hidup turut menyebabkan ramai pengguna mencari alternatif pembayaran yang lebih mudah untuk mengurus perbelanjaan harian mereka. Trend penggunaan BNPL menunjukkan bahawa masyarakat semakin selesa menggunakan kemudahan kewangan digital dalam urusan harian.
Walaupun perkembangan ini mencerminkan kemajuan teknologi kewangan negara, ia juga menimbulkan persoalan tentang tahap kesediaan pengguna dalam mengurus komitmen kewangan mereka. Kemudahan yang ditawarkan mampu memberi manfaat, namun tanpa pengetahuan dan disiplin yang mencukupi, ia juga berpotensi menimbulkan masalah kewangan pada masa hadapan.
Tidak dapat dinafikan bahawa BNPL menawarkan beberapa kelebihan kepada pengguna. Sebagai contoh, seorang pelajar universiti yang memerlukan komputer riba untuk tujuan pembelajaran mungkin tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membuat pembayaran secara sekaligus. Dengan adanya BNPL, pelajar tersebut dapat memperoleh peralatan yang diperlukan dan membayar secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan. Begitu juga bagi individu yang memerlukan telefon pintar atau peralatan kerja yang penting untuk pekerjaan mereka.
Selain membantu memenuhi keperluan tertentu, BNPL juga memberi fleksibiliti kepada pengguna dalam mengurus aliran tunai. Pengguna tidak perlu mengeluarkan sejumlah wang yang besar pada satu masa dan boleh merancang pembayaran mengikut tempoh yang ditetapkan. Oleh sebab itu, ramai yang melihat BNPL sebagai satu alternatif yang lebih mudah berbanding pinjaman tradisional yang memerlukan proses permohonan yang lebih rumit.
Walau bagaimanapun, di sebalik kemudahan tersebut, penggunaan BNPL turut menimbulkan beberapa kebimbangan. Antara isu utama yang sering dibincangkan ialah kecenderungan pengguna untuk berbelanja melebihi kemampuan sebenar. Apabila pembayaran boleh ditangguhkan atau dibuat secara ansuran, pengguna mungkin berasa mereka mampu membeli lebih banyak barangan walaupun hakikatnya mereka masih perlu menjelaskan bayaran tersebut pada masa hadapan. Fenomena ini semakin ketara dalam era media sosial.
Setiap hari pengguna terdedah kepada pelbagai iklan, promosi dan trend yang menggalakkan pembelian segera. Tawaran seperti “bayar kemudian”, “ansuran mudah” atau “tiada bayaran pendahuluan” sering kali menarik perhatian pengguna. Akibatnya, sesetengah individu membeli sesuatu bukan kerana keperluan tetapi kerana keinginan untuk mengikuti trend semasa atau memenuhi gaya hidup tertentu. Lebih membimbangkan, terdapat pengguna yang mempunyai beberapa komitmen BNPL secara serentak daripada pelbagai penyedia perkhidmatan.
Pada peringkat awal, setiap ansuran mungkin kelihatan kecil dan tidak membebankan. Namun apabila digabungkan, jumlah keseluruhan bayaran bulanan boleh menjadi tinggi dan sukar diurus. Jika pengguna gagal membuat perancangan kewangan yang baik, mereka berisiko menghadapi tekanan kewangan serta kesukaran memenuhi komitmen lain yang lebih penting.
Persoalannya, adakah BNPL merupakan pilihan kewangan yang bijak? Jawapannya bergantung kepada cara pengguna mengurus kemudahan tersebut. BNPL bukanlah sesuatu yang salah secara mutlak. Malah, ia boleh menjadi alat kewangan yang bermanfaat sekiranya digunakan untuk tujuan yang penting dan disertai perancangan yang teliti.
Namun, jika digunakan tanpa kawalan, BNPL boleh menjadi punca kepada beban hutang yang tidak diperlukan. Dari perspektif Islam, setiap keputusan kewangan perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab. Islam tidak melarang umatnya berhutang sekiranya terdapat keperluan yang munasabah. Namun begitu, Islam mengingatkan bahawa hutang merupakan satu amanah yang wajib dilunaskan. Oleh itu, seseorang tidak seharusnya mengambil komitmen kewangan yang melebihi kemampuan dirinya.
ALLAH SWT berfirman:"Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (kerana bakhil), dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan terlalu luas, kerana akibatnya engkau menjadi tercela dan menyesal." (Surah al-Isra', 17:29).
Ayat ini menunjukkan bahawa Islam menuntut keseimbangan dalam perbelanjaan. Umat Islam tidak digalakkan bersikap terlalu kedekut, tetapi pada masa yang sama tidak boleh berbelanja secara berlebihan sehingga memudaratkan diri sendiri.
Dalam konteks BNPL, prinsip ini amat penting kerana pengguna perlu memastikan setiap pembelian dibuat berdasarkan keperluan dan kemampuan sebenar. Selain itu, Rasulullah SAW bersabda:"Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menggalakkan umat Islam supaya berusaha mencapai kedudukan kewangan yang lebih baik dan tidak bergantung kepada pihak lain tanpa keperluan. Walaupun BNPL bukanlah satu bentuk meminta-minta, prinsip yang terkandung dalam hadis ini mengajar umat Islam supaya sentiasa berusaha mengurus kewangan dengan baik serta mengelakkan komitmen yang boleh membebankan diri pada masa hadapan. Pandangan ini turut selari dengan pemikiran Imam al-Ghazali.
Menurut beliau, manusia perlu mengawal kehendak dan tidak membiarkan nafsu menguasai keputusan yang dibuat. Seseorang yang gagal mengawal keinginan mudah terdorong melakukan perkara yang akhirnya membawa kemudaratan kepada dirinya sendiri. Dalam konteks penggunaan BNPL, pandangan ini amat relevan kerana pengguna perlu membezakan antara keperluan dan kehendak sebelum membuat sebarang komitmen kewangan.
Selain memahami prinsip-prinsip tersebut, masyarakat juga perlu meningkatkan tahap literasi kewangan. Ramai pengguna mengetahui cara menggunakan BNPL, tetapi tidak semua memahami implikasi kewangan yang mungkin timbul sekiranya kemudahan tersebut digunakan secara berlebihan. Pengetahuan mengenai penyediaan bajet, pengurusan hutang dan perancangan kewangan perlu diperkukuhkan supaya pengguna dapat membuat keputusan yang lebih bijak.
Penyedia perkhidmatan BNPL juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pengguna memahami syarat serta risiko penggunaan kemudahan tersebut. Maklumat berkaitan jadual pembayaran, caj kelewatan dan implikasi tunggakan perlu disampaikan secara jelas dan telus. Langkah ini penting bagi membantu pengguna membuat keputusan yang lebih tepat dan mengelakkan salah faham pada masa hadapan.
Kesimpulannya, BNPL merupakan satu inovasi kewangan yang menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengguna dalam era digital. Namun, kemudahan tersebut perlu digunakan secara bijak dan berhemah. Pengguna tidak seharusnya menjadikan BNPL sebagai alasan untuk berbelanja tanpa kawalan atau memenuhi kehendak yang tidak diperlukan.
Sebaliknya, setiap keputusan pembelian perlu dibuat dengan mengambil kira kemampuan kewangan serta tanggungjawab yang bakal ditanggung. Jika digunakan dengan betul, BNPL mampu membantu pengguna mengurus kewangan dengan lebih fleksibel. Namun, jika digunakan tanpa kawalan, ia boleh menjadi punca kepada masalah hutang dan tekanan kewangan. Oleh itu, kebijaksanaan dan disiplin pengguna merupakan faktor utama dalam menentukan sama ada BNPL benar-benar pilihan yang bijak atau sebaliknya.
Maklumat penulis:
1. Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (Umt), Mazrashima Gaffad
2. Pensyarah, Dr Jaharudin Padli