'Saya pernah berlapar, makan pun sekali sehari' - Kisah hidup pelajar cemerlang ini raih perhatian ramai

Iklan
Kisah hidup Umairah sampai ke pengetahuan Naib Canselor UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamad yang tersentuh dengan kesungguhan pelajar tersebut dalam meneruskan pengajian walaupun berdepan cabaran kewangan yang berat. Foto: Facebook Universiti Utara Malaysia (Official FB)

Di saat kebanyakan pelajar universiti menikmati kehidupan kampus bersama rakan-rakan, berbeza pula dengan nasib seorang pelajar cemerlang Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terpaksa menahan lapar demi meneruskan pengajian.

Menurut Pelajar Tahun Dua, Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, Nurul Umairah Mohd Zambri, dirinya hanya makan sekali sehari kerana kekangan kewangan yang dihadapi keluarga.

Iklan
Iklan

Walaupun sering diajak rakan-rakan untuk makan bersama atau keluar bersantai, Umairah terpaksa menolak kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk berbelanja seperti pelajar lain.

Menurut gadis berasal dari Permatang Tok Jaya, Sungai Dua, Pulau Pinang itu, kehidupan berjimat cermat sudah menjadi rutin hariannya sejak melanjutkan pengajian di universiti.

Iklan

"Saya memang hanya makan sekali sehari dan perkara itu sudah biasa bagi saya.

"Keluarga bukan orang senang. Ayah diuji dengan penyakit buah pinggang sehingga hilang upaya untuk mencari nafkah.

Iklan

"Ibu pula bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM600 sebulan. Dengan duit itulah ibu menampung perbelanjaan keluarga dan kos rawatan ayah," katanya seperti dipetik di Facebook Universiti Utara Malaysia (Official FB). 

Meskipun berdepan pelbagai kesukaran, Umairah tidak pernah membiarkan keadaan itu menjejaskan prestasi akademiknya.

Malah, beliau berjaya membuktikan bahawa kesusahan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan apabila memperoleh Purata Nilai Gred (GPA) 3.72 dan Himpunan Purata Nilai Gred (CGPA) 3.59.

Bagi Umairah, kecemerlangan yang diraih adalah hasil usaha, disiplin dan doa yang tidak pernah putus daripada kedua-dua ibu bapanya.

"Alhamdulillah, dari segi akademik ALLAH rezekikan saya keputusan yang baik.

"Cuma dari segi kewangan, saya memang perlu berjimat. Saya ada menerima bantuan daripada Zakat Pulau Pinang dan bantuan itu banyak membantu menampung perbelanjaan.

"Namun saya sentiasa mengutamakan perkara penting terlebih dahulu seperti yuran pengajian dan keperluan universiti sebelum memikirkan perkara lain," ujarnya.

Ketika ramai pelajar memilih bekerja sambilan di dalam kampus bagi menambah pendapatan, Umairah mempunyai alasannya sendiri untuk tidak berbuat demikian.

"Saya hanya bekerja pada waktu cuti semester sahaja. Untuk kerja sambilan dalam kampus, mungkin tidak. Bukan saya tak mahu, tapi bimbang tugasan dan 'assignment' akan terabai. Saya tahu potensi diri setakat mana,” katanya.

Kecekalan Umairah akhirnya mendapat perhatian pihak universiti

Kisah hidup Umairah sampai ke pengetahuan Naib Canselor UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamad yang tersentuh dengan kesungguhan pelajar tersebut dalam meneruskan pengajian walaupun berdepan cabaran kewangan yang berat.

Susulan itu, beliau segera mengarahkan Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Dr Muhamad Zulkurnai Ghazali, Pengetua Inasis Yayasan Albukhary (YAB), Mohd Farhan Ismail serta Umairah hadir ke pejabatnya untuk perbincangan lanjut.

"Kita akan bantu serta-merta untuk membiayai perbelanjaan sara hidup Umairah," katanya di media sosial.