Mungkin ramai yang sudah membaca satu hantaran yang tular beberapa minggu lalu di media sosial mengenai seorang lelaki merasakan dirinya ditipu oleh seorang penjual di Shopee.
Lelaki tersebut kemudiannya menghubungi penjual terbabit untuk berbincang mengenai ‘penipuan’ itu, namun terkejut selepas mengetahui bahawa dia sebenarnya sedang berurusan dengan kanak-kanak berusia 11 tahun.
Kanak-kanak tersebut meminta maaf dan menjelaskan bahawa dia baru belajar berniaga.
Kemudian pelanggan tersebut membatalkan hasratnya untuk meminta ‘refund’ dan membantu kanak-kanak ini membetulkan kesilapan di kedainya serta menularkan perkara ini di media sosial miliknya.
Menurut laporan MalayMail, kanak-kanak tersebut bernama Umar al-Khattab dan telah menerima sebanyak 300 pesanan sepanjang 9 hari semenjak memulakan perniagaan tersebut.
Baca juga: Sisi positif penggunaan gajet, beri peluang pelajar teroka konsep baharu PdP
Baca juga: Sejarah papan hitam yang perlu pelajar tahu
Peniaga muda ini turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna sosial media yang mula membeli di kedainya sejak tular itu.
Inisiatif untuk membeli telefon pintar bagi kegunaan PdPR
Menurut ibunya, Huda, anaknya itu memulakan perniagaan di Shopee untuk mengumpul wang bagi membeli sendiri telefon pintar baru agar dia dapat mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan baik.
Umar perlu berkongsi telefon dengan lima beradik yang masih bersekolah.
"Kadang kala, kelas mereka bertembung, jadi kami harus mengutamakan anak-anak yang lebih tua.
"Dia ada juga minta untuk beli telefon baru tetapi disebabkan keadaan kewangan semasa, kami tidak mampu memenuhinya kerana perlu membayar perkara yang lebih penting seperti utiliti rumah, makanan dan membayar bil lain.
"Jadi, saya katakan kepadanya supaya berniaga jadi dia dapat membeli sendiri telefon dengan menggunakan wang hasil jualannya," kata Huda.
Ketika ini kedua-dua ibu bapa Umar tidak bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terpaksa berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupan.
Belajar dari Youtube
Menurut Umar, dia mula tertarik untuk belajar berniaga selepas mendengar penerangan rakan bapanya tentang cara-cara berniaga di Shopee.
Umar mengatakan bahawa dia telah belajar banyak perkara untuk menjadi seorang penjual dalam masa seminggu sahaja. Contohnya seperti belajar berkomunikasi dengan pelanggan dan cara mengurus kedai dalam talian.
Ayah Umar, Shamsul Bahrim mengatakan bahawa anaknya itu mengendalikan semua perkara berkaitan akaun Shopeenya sendiri. Malah, anaknya suka menonton dan belajar melalui YouTube untuk mengetahui kaedah pengendalian perniagaan di platform membeli-belah dalam talian.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
"Kami hanya membantunya mengurus mengenai perkara-perkara berurusan dengan pihak pembekal dan juga membimbingnya mengenai internet,” ujar Shamsul.
Shamsul juga mengatakan bahawa dia turut membantu Umar dari segi pembungkusan dan pos kerana pengalamanya dalam bidang logistik serta tidak mahu mengambil risiko membiarkan Umar berada di luar rumah terlalu lama kerana Covid-19.
Sehingga hari ini kedai adik umar telah mempunyai seramai 6,500 orang pengikut di Shopee. Anda boleh lawati kedainya di sini (https://shopee.com.my/nurulhuda346_)
Selamat berjaya adik Umar!
Sumber: MalayMail