Meriah! SK Chopin bawa rombongan sekolah raikan kemenangan dalam ASSSB
Meriah! SK Chopin bawa rombongan sekolah raikan kemenangan dalam ASSSB

Meriah! SK Chopin bawa rombongan sekolah raikan kemenangan dalam ASSSB

Roshlawaty Md Raieh
07 Oct 2022 10:02am
A
A
A

Sekolah Kebangsaan (SK) Chopin, Parit, Perak merupakan antara sekolah yang diumumkan sebagai pemenang bagi Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) yang berlangsung di Hotel Concorde Shah Alam, Selangor, pada Rabu.

SK Chopin yang memenangi kategori Sekolah Rendah Luar Bandar membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, trofi beserta sijil.

Bagi meraikan kejayaan itu dan sebagai tanda sokongan, Guru Besarnya, Hamzah Zakaria telah membawa rombongan sekolah yang terdiri daripada 41 murid dan 10 guru.

Walaupun mereka tidak berpeluang untuk menyaksikan Cikgu Hamzah menerima anugerah di atas pentas tetapi mereka dapat menyaksikan saat indah tersebut menerusi layar besar yang disediakan di Kumpulan Media Karangkraf.

Rombongan SK Chopin menyaksikan kemuncak ASSSB menerusi layar besar disediakan di Kumpulan Media Karangkraf.

Menurut Guru Kanan Pentadbiran, Sharifah Norhuda Lod Rahman, kedatangan mereka ke Shah Alam adalah untuk bersama-sama meraikan kejayaan sekolah merangkul anugerah dalam ASSSB.

“Persaingan sangat sengit dan kami benar-benar tidak sangka SK Chopin tersenarai sebagai salah satu pemenang.

“Kerana kejayaan itu, pihak pentadbir sepakat membawa warga sekolah ke Shah Alam bagi meraikan kejayaan bersama-sama.

“Terima kasih kepada Kumpulan Media Karangkraf kerana menyediakan tempat untuk anak-anak murid menyaksikan peristiwa bersejarah sekolah mereka menerusi layar besar serta menyediakan makan tengah hari, kami sangat menghargai,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Kumpulan Media Karangkraf turut menyediakan hidangan tengah hari untuk rombongan sekolah ini.

Sementara itu, Cikgu Sharifah Norhuda berkata, kehadiran rombongan SK Chopin ke Kumpulan Media Karangkraf adalah di bawah program ‘Jom Myongket’ anjuran sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Menerusi ‘Jom Myongket’, peserta peluang melawat Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur selepas berakhirnya majlis kemuncak ASSSB.

“Insya-ALLAH, sekiranya SK Chopin memenangi lagi pertandingan akan datang, mungkin rombongan sekolah seperti ini akan datang sebagai tanda sokongan,” ujarnya.

ASSSB merupakan anugerah yang memberi pengiktirafan kepada sekolah-sekolah yang menepati ciri-ciri S.M.A.R.T.

S.M.A.R.T. membawa maksud S, skil; M (mahir); A (atribut); R (relevan) dan T (teknologi).

Selain SK Chopin, turut diumumkan pemenang dalam anugerah tersebut adalah SK Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah yang memenangi kategori Sekolah Rendah Bandar; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur kategori Sekolah Menengah Bandar; SMK Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor kategori Sekolah Menengah Luar Bandar dan SK Pos Dipang, Kampar, Perak penerima Anugerah Khas Juri.

Majlis yang disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim turut dihadiri Presiden The Hope Factory Malaysia, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali; Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani dan Naib Presiden Komunikasi dan CSR Bank Rakyat, Nizam Abu Samah.

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Pengarang Eksekutif (Gaya Hidup dan Hiburan), Sinar Harian, Meen Tahrin selaku Pengarah Program.

Artikel berkaitan 

5 sekolah bertuah diumumkan pemenang ASSSB

Persembahan Gamelan Putra Warisan, ‘choral speaking’, rai kedatangan tetamu kehormat ASSSB

Sinar Bestari lancar kempen #GenerasiMahirBerilmu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok