URC 2021
URC 2021

Kejayaan dalam bidang STEM, nadi utama kecemerlangan SK Seri Makmur

Adlan Farhan Azwan
25 Aug 2022 09:11am
A
A
A

Menjadi johan dalam Pertandingan Universal Robotics Challenge Antarabangsa (URC) 2021 kategori Idea Division telah membuktikan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Makmur, Sungai Besar, Selangor berjaya menguasai bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Kejayaan ini tidak datang bergolek sekiranya tanpa usaha dan bimbingan daripada Cikgu Nor Ifthitah Ahmad yang telah membudayakan kepentingan inovasi dalam pembelajaran hari ini.

Bukan sekadar menjadikan sekolahnya juara malah beliau juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Pendidikan, Anugerah Guru STEM dan Anugerah Guru TVET Peringkat Negeri Selangor.

Segala kejayaan yang ditempa ini membolehkan SK Seri Makmur dan Cikgu Nor Ifthitah menyertai Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB), Sinar Harian.

Selain itu, turut menyumbang kepada kecemerlangan sekolah ini ialah Cikgu Nor Faizah Yusof yang banyak berjasa sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akibat pandemik Covid-19.

Kesungguhan beliau serta sumbangan idea dalam memastikan murid-murid menjalani PdPR dengan berkesan telah mendapat pengiktirafan Ikon Suri Teladan 2021 Peringkat Daerah Sabak Bernam.

Sementara itu, turut ditampilkan ialah kejayaan murid SK Seri Makmur, Nureel Auni Mohd Amirullah yang menjalani Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di bawah kategori Ketidakupayaan: Specific Learning Disorder.

Dia berjaya menerima Anugerah Murid Mithali dan Sahsiah Terbaik Tahun 2021 PPKI Peringkat Sekolah dan dinobatkan Johan (Tarannum BP Perempuan) sempena Karnival Pendidikan Khas Peringkat Daerah Sabak Bernam 2022.

Melihat kepada aspek kokurikulum pula, kejayaan SK Seri Makmur hadir menerusi muridnya, Muhammad Ikhwan Mohd Johari apabila berjaya menjadi Johan Pertandingan Mendirikan Khemah Tunas Kadet Remaja Sekolah Putera Peringkat Kebangsaan di bawah kategori individu serta dinobatkan Naib Johan bagi kategori berkumpulan.

Ternyata, keseimbangan pencapaian kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid-murid amatlah penting dalam usaha SK Seri Makmur melakar kejayaan sehingga di peringkat antarabangsa.

Artikel berkaitan

Sistem WED-COCU tingkatkan kualiti kokurikulum SK Lembah Subang

Raih kejayaan dalam bidang STEM, bukti kemenjadian murid SKC Anglo Chinese

SK Desa Amanpuri usaha tingkat keceriaan sekolah, maju teknologi dalam PdP 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan