Untitled design (65)
Untitled design (65)

Kemenangan tingkat motivasi guru SK Chopin

Norliza Wasilan
17 Oct 2022 10:41am
A
A
A

Dikategorikan sebagai SKM, namun pencapaian sekolah ini cukup membanggakan.

Meskipun dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), namun warga Sekolah Kebangsaan (SK) Chopin yang terletak di Parit, Perak ini sememangnya berjiwa besar.

Memiliki 11 guru termasuk guru besar dan 44 murid, warga sekolah ini tidak pernah menjadikan lokasi mereka di luar bandar sebagai halangan untuk meraih pelbagai kejayaan.

Mereka membuktikan kesungguhan dan kegigihan untuk mencipta kejayaan menerusi pencapaian membanggakan apabila murid sekolah itu membawa pulang tiga anugerah di International Information Management Online Showcase (IIMOS 2021).

Pemenang anugerah ASSSB (barisan hadapan) bersama tetamu kenamaan.

Terbaharu, sekolah ini sekali lagi mencipta kejayaan cukup bermakna apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) 2021/2022 kategori Sekolah Rendah Luar Bandar.

Berikutan itu, sekolah berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan.

Pembakar semangat

Guru Besar SK Chopin, Hamzah Zakaria ketika ditemui melahirkan kegembiraannya atas kemenangan itu yang dianggap mengiktiraf kejayaan sekolah dalam kategori SKM.

Ujarnya, kemenangan itu bukan saja menjadi pembakar semangat tetapi juga meningkatkan motivasi mereka untuk terus berbakti dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan.

“Terima kasih kerana menganjurkan pertandingan yang mengiktiraf sekolah luar bandar. Ini kerana agak payah untuk sekolah kecil seperti kami untuk menyertai pertandingan disebabkan kapasiti guru dan murid yang kecil.

“Tetapi dengan adanya pertandingan ini, ia telah menaikkan semangat kami untuk terus memajukan sekolah.

“Malah, saya dapat melihat semua guru bersemangat dan bermotivasi setiap kali datang sekolah selepas memenangi pertandingan ini,” ujarnya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Pada 5 Oktober lalu, Hamzah mewakili SK Chopin menerima anugerah berkenaan di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor.

Sebagai tanda sokongan, warga SK Chopin hadir ke bangunan Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, Selangor, untuk menyaksikan Hamzah menerima anugerah ASSSB kategori Sekolah Rendah-Luar Bandar bagi pihak sekolah, baru-baru ini.

Bagi meraikan kejayaan itu, sekolah berkenaan telah membawa rombongan yang terdiri daripada 41 murid dan 10 guru ke bangunan Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam bagi menyaksikan guru besar mereka mewakili sekolah untuk menerima anugerah menerusi layar besar disediakan.

Sehubungan itu, beliau berharap penganjuran anugerah seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberi peluang kepada sekolah luar bandar menonjolkan pencapaian masing-masing.

Ditanya perancangan sekolah selepas kemenangan itu, ujar Hamzah, pihaknya masih belum merancang secara terperinci.

Namun, tambahnya, wang kemenangan bakal disalurkan untuk tujuan mengimarah surau yang baru dibina dan membeli kelengkapan pembelajaran murid.

“Kami juga berharap dapat bekalkan televisyen di setiap kelas supaya murid-murid dapat menjalani sesi pembelajaran dengan cara menyeronokkan sesuai dengan elemen Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21).

“Sekolah ini hanya mempunyai enam kelas terdiri daripada Tahun Satu hingga Enam dan setakat ini kami sudah mempunyai dua televisyen, jadinya hanya perlu empat lagi untuk menjadikan sesi pembelajaran lebih kreatif serta menarik di setiap kelas,” ujarnya.

Program Drive Thru Bucket ini adalah pendekatan warga sekolah untuk membantu murid yang mempunyai masalah capaian internet ketika PdPR.

Cabaran

Berkongsi cabaran sepanjang Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Hamzah memaklumkan mereka melaksanakan program Drive Thru Bucket disebabkan masalah capaian internet.

“Oleh kerana capaian internet di kawasan penempatan sekitar sekolah ada yang tidak memuaskan, maka kami membuat keputusan untuk menghantar bahan PdPR bercetak di sempadan antara Perak Tengah dan Kuala Kangsar yang dihalang benteng batu.

“Pihak PIBK (Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti) yang dilantik akan menunggu di sana untuk menerima bahan dan kemudiannya diedarkan ke rumah murid-murid.

“Apabila murid telah menyiapkannya, PIBK yang dilantik akan mengutip semula bahan berkenaan dan menghantarnya kepada guru yang menunggu di sempadan pada tarikh serta masa ditetapkan,” tuturnya yang turut memaklumkan jarak antara sempadan berkenaan dengan sekolah kira-kira 2.5 kilometer.

Kreativiti seperti ini membantu murid untuk terus meningkatkan minat belajar sesuatu yang baru.

Tingkat kemahiran

Selain itu, Hamzah turut berkongsi mengenai projek bilik studio green screen yang dilaksanakan sekolah itu.

“Projek ini memberi peluang kepada guru dan murid meningkatkan kemahiran menghasilkan rakaman serta suntingan.

“Selain itu, ia turut memberi pendedahan kepada guru dan murid mengenai bidang ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi), teknik layar hijau dan cara menghasilkan gambar serta video lebih kreatif,” tambahnya.

Pencapaian

  • Membawa pulang tiga anugerah di pertandingan International Information Management Online Showcase (IIMOS 2021) iaitu Gold Award (kategori Junior Star); Top 5 Best Video Award (kategori Junior Star, tempat ketiga) dan Gold Award (kategori Young Innovator).
  • Anugerah perak di Penang International Invention, Innovation And Design 2021 dan International Digital Innovation and Invention Challenge 2021.
  • Pingat emas Seminar Amalan Inovasi PDPC Didik Hibur 2022, Peringkat Kebangsaan.
  • Anugerah Guru Inovatif (Berkumpulan) peringkat Daerah Perak Tengah dan Negeri Perak.
  • Pembentang Terbaik Kolokium Amalan Terbaik Pengetua dan Guru Besar (PGB) PRIme Peringkat Negeri Perak Tahun 2022.

Artikel berkaitan

5 sekolah bertuah diumumkan pemenang ASSSB

SMK Saujana Utama rancang bina mercu tanda, Pemenang RM10,000 ASSSB kategori Sekolah Menengah Luar Bandar

Persembahan Gamelan Putra Warisan, ‘choral speaking’, rai kedatangan tetamu kehormat ASSSB


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan