Untitled design (63)
Untitled design (63)

SK Dato’ Wan Kemara ungguli kategori Sekolah Rendah Bandar

Norliza Wasilan
17 Oct 2022 10:09am
A
A
A

Kejayaan diraih cetus inspirasi untuk tingkatkan lagi kecemerlangan.

Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara yang terletak di Changlun, Kedah banyak melakar kejayaan membanggakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa meskipun ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Kesungguhan dan kegigihan warganya merangkumi pentadbir sekolah, guru dan murid ternyata membuahkan hasil dan ini dibuktikan menerusi pelbagai anugerah serta pengiktirafan yang diterima sepanjang tempoh itu.

Sesungguhnya kejayaan yang diraih itu juga adalah hasil daripada sokongan dan dorongan kuat pelbagai pihak; antaranya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK).

Lima sekolah diumumkan sebagai penerima Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari 2021/2022 (ASSSB).

 

Kejayaan membanggakan

Terbaharu, SK Dato’ Wan Kemara terpilih sebagai pemenang Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) 2021/2022 bagi kategori Sekolah Rendah Bandar.

Guru Besarnya, Mohd Nizam Saidin berkata, pihaknya melahirkan kesyukuran dan anugerah itu sudah pasti membakar semangat mereka untuk terus menyertai apa juga pertandingan yang dianjurkan.

Menyifatkan kejayaan itu sebagai cukup membanggakan, katanya, anugerah berkenaan cukup bererti kerana penilaian pencapaian sekolah dilakukan sepanjang tahun 2021 hingga 2022 ketika negara masih dalam era pandemik.

Menurutnya, ketika itu sekolah-sekolah di negara ini masih bergelut untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Alhamdulillah, perasaan bangga dan berterima kasih kepada semua guru, pegawai JPN dan PIBG yang banyak membantu dalam meraih anugerah ini.

“Sudah pasti anugerah ini akan memberi inspirasi kepada kami untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Malah, anugerah ini juga membawa erti tersendiri kerana usaha untuk mengumpul segala dokumentasi mengenai pencapaian sekolah sepanjang 2021 hingga 2022 turut memerlukan komitmen daripada semua pihak,” katanya selepas Majlis (ASSSB) 2021/2022 di Shah Alam, Selangor baru-baru i yang disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Pemenang anugerah ASSSB (barisan depan) bersama tetamu kenamaan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani; Naib Presiden Komunikasi dan CSR Bank Rakyat, Nizam Abu Samah; Presiden The Hope Factory Malaysia, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad dan Pengarang Eksekutif (Gaya Hidup dan Hiburan) Sinar Harian, Meen Tahrin selaku Pengarah Program.

Dengan kemenangan itu, SK Dato’ Wan Kemara membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad dalam ucapannya berkata, apa yang dilakukan Sinar Bestari wajar dipuji kerana lima ciri S.M.A.R.T yang dipertandingkan itu merangkumi semua aspek diperlukan dalam sistem pendidikan.

“Saya berharap ia tidak terhenti setakat ini dan akan berterusan serta ambil peluang untuk meneroka teknologi dalam usaha memantapkan sistem pendidikan hari ini.

“Jadikan situasi hari ini sebagai titik tolak untuk memacu kemajuan dalam teknologi pendidikan negara selain memberi kesedaran dan menggalakkan lebih ramai anak-anak mahir dalam teknologi,” ujarnya.

 

Warga SK Dato' Wan Kemara sentiasa memberikan yang terbaik untuk murid mereka.

Pengiktirafan

Mohd Nizam turut memaklumkan, antara kejayaan yang menyumbang kepada kemenangan sekolah berkenaan ialah pengiktirafan yang diterima menerusi Anugerah Microsoft Showcase School pada September lalu.

Kejayaan berkenaan, katanya, menjadikan SK Dato’ Wan Kemara sebagai satu-satunya sekolah di Kedah mendapat pengiktirafan bertaraf antarabangsa itu.

Ujarnya, menerusi pengiktirafan itu, seramai 15 guru diumumkan sebagai Microsoft Innovative Educator Expert (MIEE) manakala 93 guru lagi sebagai Microsoft Innovative Educator (MIE).

“Alhamdulillah, guru-guru di SK Dato’ Wan Kemara berjaya mengaplikasikan teknologi dalam pendidikan. Sebab itulah salah satu kejayaan diraih sekolah kami adalah menerusi Microsoft Showcase School.

“Menerusi pendekatan itu juga, guru-guru mempunyai lebih banyak pengetahuan mengenai teknologi dalam usaha membantu murid ketika sesi pembelajaran,” tuturnya.

Suasana pembelajaran yang menarik membantu meningkatkan minat pelajar untuk aktif di dalam kelas.

Cabaran

Bercakap mengenai cabaran yang dilalui sepanjang tempoh PdPR, Mohd Nizam menjelaskan, mereka menggunakan pendekatan menyalurkan rakaman video untuk murid sekolah belajar di rumah masing-masing.

Ujarnya, rakaman video berkenaan dilakukan oleh Kemara TV dalam studio yang dibangunkan pihak sekolah.

“Jadi, apabila pandemik berlaku, kita terus salurkan semua video berkenaan kepada semua anak didik kami.

“Selain itu, kami juga aktif melaksanakan program secara dalam talian meskipun tidak dapat menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka di sekolah,” katanya sebelum mengakhiri bicara.

 

Pencapaian

  • Satunya-satunya sekolah di Kedah yang menerima Anugerah Microsoft Showcase School pada September 2021.
  • 93 guru dinobatkan sebagai Microsoft Innovative Educator (MIE).
  • 15 guru diberikan pengiktirafan sebagai Microsoft Innovative Educator Expert (MIEE).
  • Penerima Anugerah Emas kategori Pendigitalan Sekolah dalam Digital Utilisation and Technology Award (DUTA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2022.
  • Diiktiraf sebagai Sekolah Perdana pada 2021.
  • Penganugerahan Khas Kecemerlangan PIBG/PIBKS Cemerlang Peringkat Negeri Kedah Tahun 2021.
  • Pemenang Anugerah Perak di International Virtual Expo Of Innovation Product And System Design 2021 (IN-VIDE) menerusi penyertaan dua murid iaitu Nur Zinnirah Mohd Azni dan Muhammad Afnan Muhamad Amar hasil bimbingan Cikgu Norazalina Bakar.

Artikel berkaitan

Sinar Bestari umum perancangan ASSSB tahun depan

Persembahan Gamelan Putra Warisan, ‘choral speaking’, rai kedatangan tetamu kehormat ASSSB

5 sekolah bertuah diumumkan pemenang ASSSB


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan