Guru SJKT Rantau, R Uma menggunakan panel interaktif pintar sebagai alat pembelajaran.
Guru SJKT Rantau, R Uma menggunakan panel interaktif pintar sebagai alat pembelajaran.

Pendidikan digital: SJKT Rantau raih pengiktirafan MBR!

02 Mar 2026 04:00pm

Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rantau melakar kejayaan menerusi pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) atas pencapaian pemasangan panel interaktif pintar terbanyak bagi sekolah Tamil.

Sebanyak 14 unit panel interaktif pintar bersaiz 75 inci atau 190.5 sentimeter dipasang di semua kelas yang dapat memanfaatkan 300 pelajar termasuk murid prasekolah bagi memperkasakan pendidikan digital, hasil usaha murni Pengarah Urusan Linsun Engineering Sdn Bhd, Datuk M Natarajen dan Pengarah Operasi syarikat berkenaan Datuk M Satishkumar.

Mohan menerima sijil pengiktirafan MBR atas pencapaian pemasangan panel interaktif pintar terbanyak bagi sekolah Tamil di SJKT Rantau, Negeri Sembilan.
Mohan menerima sijil pengiktirafan MBR atas pencapaian pemasangan panel interaktif pintar terbanyak bagi sekolah Tamil di SJKT Rantau, Negeri Sembilan.

Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk T Mohan berkata inisiatif itu bukan sekadar penambahan kemudahan, tetapi satu langkah transformasi bagi melonjakkan standard pendidikan sekolah ke tahap lebih tinggi.

"Terima kasih kepada dua beradik, Datuk Natarajen dan Datuk Satishkumar, yang juga bekas murid sekolah ini. Kejayaan mereka dalam kerjaya serta kesediaan untuk kembali berbakti kepada sekolah ini wajar dijadikan teladan oleh generasi pelajar masa kini.

"Saya berharap semua pelajar dapat memanfaatkan penggunaan teknologi ini bagi meningkatkan prestasi akademik serta melakar kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan," katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut wakil MBR Edwin Yeoh Tiong Chin dan Guru Besar SJKT Rantau K. Mageswary serta pimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan murid sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Dalam pada itu, Mageswary berkata sumbangan tersebut menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan pembelajaran berteraskan teknologi di sekolah berkenaan.

"Saya percaya sekolah ini terus menerajui kecemerlangan pada masa akan datang kerana kemudahan disediakan lengkap serta memberi nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP)," katanya.

Beliau berkata, guru di sekolah tersebut juga mahir dalam pengendalian teknologi digital, sekali gus membolehkan sesi pembelajaran dilaksanakan secara lebih interaktif, sistematik dan berkesan.

Mageswary berkata usaha itu juga selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan mata pelajaran Alam dan Manusia berteraskan elemen digital mulai 2027, sekali gus menjadi langkah penting melahirkan generasi murid celik dan kompeten digital. - Bernama

Ringkasan AI

  • SJKT Rantau dianugerahi pengiktirafan Malaysia Book of Records kerana memasang panel interaktif pintar terbanyak dalam kalangan sekolah Tamil
  • Datuk M Natarajen dan Datuk M Satishkumar sumbang 14 unit panel interaktif pintar untuk memperkasakan pendidikan digital di sekolah tersebut
  • Inisiatif ini dianggap sebagai langkah transformasi pendidikan oleh bekas Ahli Dewan Negara, Datuk T Mohan
  • Panel interaktif pintar tersebut digunakan untuk meningkatkan prestasi akademik dan mempersiapkan pelajar dengan kemahiran digital
  • Pengerusi SJKT Rantau, Mageswary, percaya kemudahan baru ini akan memperkayakan proses pengajaran dan pembelajaran, selaras dengan pengenalan mata pelajaran berteraskan digital oleh Kementerian Pendidikan pada 2027
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp