
Penantian satu penyeksaan! Tarikh sebenar keputusan SPM 2025 akhirnya diumum Isnin ini
Penantian satu penyeksaan! Itulah yang dirasakan ribuan calon apabila topik mengenai tarikh pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 terus menjadi perbualan hangat di media sosial.
Hampir setiap hari, netizen membincangkan perkara tersebut sehingga ada yang mengakui tidak senang duduk memikirkan bilakah keputusan peperiksaan paling penting dalam kehidupan pelajar sekolah menengah itu akan diumumkan.
Debaran bukan sahaja dirasai oleh calon, malah ibu bapa turut sama menunggu dengan penuh harapan selepas melihat usaha dan pengorbanan anak-anak mereka sepanjang tahun lalu.
Bagi meredakan teka-teki yang semakin hangat diperkatakan, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad akhirnya tampil memberikan penjelasan berhubung perkara itu.
Menurut beliau, tarikh sebenar pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2025 akan diumumkan pada Isnin ini menerusi kenyataan rasmi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau berkata, segala persiapan berkaitan pengumuman keputusan peperiksaan berkenaan sebenarnya telah selesai.
Namun begitu, pihaknya masih mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak sebelum memuktamadkan tarikh rasmi pengumuman.
"Saya sudah berbincang dengan Menteri Pendidikan mengenai tarikh pengumuman. Cadangan tarikh itu bukan satu tarikh sahaja, tetapi ada dua, tiga atau empat pilihan tarikh yang sedang dipertimbangkan.
"Penentuan tarikh pengumuman itu juga dibuat berdasarkan nasihat daripada Lembaga Peperiksaan (LP)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jaulah Ramadan Komuniti Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya 11(1) pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mohd Azam turut menasihati ibu bapa serta calon supaya tidak terlalu bimbang sama ada keputusan SPM akan diumumkan sebelum atau selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Sebaliknya, beliau menggalakkan semua pihak memanfaatkan bulan Ramadan untuk memperbanyakkan ibadah dan doa.
"Calon dan ibu bapa perlu menggunakan peluang sepanjang Ramadan ini untuk memberi tumpuan kepada ibadah serta berdoa agar anak-anak memperoleh keputusan yang terbaik," ujarnya.
- Penantian keputusan SPM 2025 menimbulkan kebimbangan di kalangan calon dan ibu bapa
- Tarikh pengumuman keputusan SPM akan diumumkan pada Isnin depan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
- Semua persiapan berkaitan pengumuman keputusan telah selesai
- Tarikh pengumuman sedang dipertimbangkan dengan beberapa pilihan
- Umat Islam digalakkan memfokuskan pada ibadah dan doa selama bulan Ramadan sambil menunggu pengumuman keputusan