
Pasukan eSENI harumkan nama Mersing, raih tiga anugerah besar di ICoN 2026
Kejayaan membanggakan berjaya dilakar sekumpulan murid dari daerah Mersing, Johor apabila pasukan mereka iaitu eSENI membawa pulang tiga anugerah utama dalam pertandingan Jaringan Komuniti Inovator Muda Peringkat Kebangsaan (ICoN 2026) di Dewan Utama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) baru-baru ini.
Pasukan tersebut merupakan gabungan lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Nitar 2, Mersing di bawah Panitia Pendidikan Seni Visual bersama seorang murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu Mersing.
Hasil kreativiti dan usaha gigih, mereka berjaya meraih Anugerah Emas Inovasi Kebangsaan bagi Kategori Sekolah Rendah; Naib Johan Keseluruhan Kategori Sekolah Rendah dan Anugerah Booth Inovasi Terbaik.
Menurut wakil guru SK LKTP Nitar 2, Anuar Hafiez Sukor, kejayaan luar biasa murid-murid dari daerah Mersing itu turut mengejutkan ramai pihak apabila mereka mampu bersaing dengan peserta dari seluruh negara.

"Pencapaian ini membuktikan murid sekolah rendah juga mampu menghasilkan idea inovasi yang kreatif dan berkualiti jika diberi peluang serta bimbingan yang berterusan," katanya.
Beliau turut berharap kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada lebih ramai murid untuk berani mencuba dan mengetengahkan idea inovatif di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.
Sementara itu, bagi kategori keseluruhan pertandingan, pasukan dari Kolej Vokasional Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Terbaik Keseluruhan (Best of the Best).

Pasukan berkenaan turut meraih pingat emas menerusi projek inovasi Fish Scale Remover Machine 4.0 bagi Kategori A: Inovasi Berasaskan Prototaip.
Inovasi tersebut direka untuk memudahkan proses membuang sisik ikan dengan lebih cepat, mudah dan cekap tanpa memerlukan tenaga kerja manual yang ramai.

Projek berkenaan dilihat mampu membantu usahawan serta pengusaha ikan meningkatkan produktiviti, di samping mengurangkan masa kerja dan kebergantungan kepada tenaga kerja manual dalam industri makanan laut.
Terdahulu, ICoN 2026 adalah platform yang menghimpunkan bakat muda dari seluruh negara bagi mengetengahkan idea kreatif serta inovasi dalam pelbagai bidang.

Ia mempertandingkan empat kategori utama iaitu Kategori A: Inovasi Berasaskan Prototaip; Kategori B: Idea Inovasi atau Berasaskan Pedagogi; Kategori C: Sekolah Menengah dan Kategori D: Sekolah Rendah.
ICoN 2026 dilaksanakan secara hibrid, merangkumi penyertaan secara dalam talian dan fizikal, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada peserta dari pelbagai latar belakang dan lokasi untuk mengetengahkan idea inovatif mereka di peringkat kebangsaan.


- Pasukan eSENI dari daerah Mersing, Johor memenangi tiga anugerah utama di pertandingan Jaringan Komuniti Inovator Muda Peringkat Kebangsaan (ICoN 2026)
- Pasukan terdiri daripada lima murid Sekolah Kebangsaan LKTP Nitar 2, Mersing dan seorang murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu Mersing
- Mereka meraih Anugerah Emas Inovasi Kebangsaan, Naib Johan Keseluruhan Kategori Sekolah Rendah, dan Anugerah Booth Inovasi Terbaik
- Kejayaan ini membuktikan murid sekolah rendah mampu menghasilkan idea inovasi yang kreatif dengan bimbingan yang berterusan
- ICoN 2026 adalah platform pertandingan yang mengetengahkan bakat muda dengan idea kreatif dan inovasi, dilaksanakan secara hibrid
