No Image Caption

Anak Malaysia ‘power’ menulis! Faham apa itu domain penulisan hingga jadi terbaik Asia Tenggara

26 Mar 2026 04:45pm

Keupayaan murid Malaysia dalam menulis bukan lagi di tahap biasa, sebaliknya kini diiktiraf sebagai antara yang terbaik di rantau ini.

Terbaharu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan Malaysia mencatat keputusan tertinggi dalam domain penulisan bagi pentaksiran Penulisan, Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024, mengatasi negara-negara Asia Tenggara lain.

Malaysia memperoleh skor purata 480.1 mata, iaitu 29.2 mata lebih tinggi berbanding purata serantau. Lebih membanggakan, sebanyak 21 peratus murid berada pada tahap pencapaian tertinggi (Band 5 ke atas), jauh mengatasi purata serantau yang hanya lima peratus.

Namun, di sebalik angka ini, ramai mungkin tertanya-tanya apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan domain penulisan?

Apa itu domain penulisan?

Secara mudah, domain penulisan merujuk kepada keupayaan murid untuk menyampaikan idea secara jelas, tersusun dan bermakna melalui penulisan.

Ia bukan sekadar pandai mengeja atau membina ayat, tetapi melibatkan tiga aspek utama:

  • Kandungan idea yang relevan dan bernas
  • Konteks kesesuaian penulisan dengan situasi atau tugasan
  • Penyampaian cara idea disusun dan dihuraikan dengan jelas

Dalam pentaksiran SEA-PLM, domain ini turut menilai tahap pemikiran kritis murid iauitu bagaimana mereka berfikir, mengolah dan menyampaikan sesuatu idea dalam bentuk tulisan.

Usaha guru, hasilnya pada murid

Artikel Berkaitan:

Kejayaan ini sebenarnya mencerminkan usaha berterusan guru dalam membimbing murid menulis dengan lebih berstruktur dan kreatif, sama ada melalui karangan, latihan pemahaman mahupun aktiviti berfikir aras tinggi (KBAT).

Seorang guru Bahasa Melayu berkongsi bahawa perubahan pendekatan pengajaran memainkan peranan besar dalam meningkatkan kemahiran ini.

“Sekarang kita bukan sekadar ajar murid menulis, tetapi ajar mereka berfikir sebelum menulis. Itu yang bezakan kualiti penulisan mereka,” jelasnya.

Walaupun pencapaian membanggakan, KPM mengakui masih wujud jurang antara murid dari latar belakang sosioekonomi berbeza, selain faktor bahasa yang digunakan di rumah dan di sekolah.

Ini menjadi peringatan bahawa usaha memperkukuh kemahiran menulis perlu diteruskan secara inklusif agar semua murid mendapat peluang yang sama.

Lebih daripada sekadar markah

Hakikatnya, kemahiran menulis bukan hanya untuk peperiksaan, tetapi menjadi asas penting dalam kehidupan—daripada menyampaikan idea, berkomunikasi hingga membina keyakinan diri.

Kejayaan Malaysia dalam domain penulisan ini membuktikan bahawa apabila murid diberi bimbingan yang tepat, mereka bukan sahaja mampu menulis dengan baik, malah berfikir dengan lebih matang.

Dan dari situlah lahirnya generasi yang bukan sekadar bijak, tetapi mampu menyuarakan idea mereka kepada dunia.

Ringkasan AI
  • Keupayaan murid Malaysia dalam menulis diiktiraf sebagai antara yang terbaik di Asia Tenggara
  • Malaysia mencatat skor tertinggi dalam SEA-PLM 2024 dengan purata 480.1 mata, melebihi purata serantau
  • Domain penulisan merujuk kepada keupayaan murid menyampaikan idea secara jelas dan bermakna
  • Kejayaan murid Malaysia mencerminkan usaha berterusan guru dalam meningkatkan kemahiran menulis murid
  • Walaupun berjaya, terdapat keperluan untuk usaha inklusif bagi menangani jurang kemahiran menulis antara murid dari latar belakang berbeza
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp