

Ayah di sebalik 'sang juara'
Ketegasan jurulatih yang juga ayah bimbing Azhar Habib sebagai atlet pingpong muda
Dalam dunia sukan, bakat samata-mata bukan jaminan terhadap sesuatu kejayaan.
Bagi pemain pingpong muda yang semakin cipta nama, Habib Adrian Muhamad Suhaidin Azhar, 11, atau Azhar Habib, asas sebenar kejayaan bermula dengan disiplin, sikap hormat kepada jurulatih serta keluarga.
Itulah yang sentiasa ditekankan oleh ayahnya, Muhamad Suhaidin Azhar Bidin@Jamaludin juga merupakan seorang jurulatih di gelanggang.
“Ketika latihan berlangsung, saya lebih memilih untuk bersikap tegas demi memastikan setiap sesi dimanfaatkan sepenuhnya.
“Walau bagaimanapun, sebaik sahaja latihan tamat, peranan itu kembali bertukar kepada seorang ayah yang sentiasa memberi sokongan dan motivasi,” katanya kepada Sinar Bestari.
Muhamad Suhaidin berkata lagi, Azhar Habib perlu dibimbing dengan seimbang supaya tidak merasakan tekanan berterusan, sebaliknya terus menikmati sukan sebagai riadah yang membina jati diri.
Rehat demi emosi anak
Apabila menceritakan tentang konfl ik emosi antara hubungan keluarga dan latihan sukan, Muhamad Suhaidin mengakui bahawa ia merupakan situasi yang biasa berlaku.
Bagaimanapun, bapanya tidak akan membiarkan keadaan itu berlarutan bagi memastikan prestasi Azhar Habib sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Agak bimbang juga nak beri tekanan kepadanya, sebaliknya latihan akan dihentikan seketika bagi memberi ruang untuk berbincang secara terbuka.
“Kami akan berbual dalam suasana yang lebih santai sebagai ayah dan anak supaya dia memahami tujuan sebenar latihan yang dijalankan dan terus mengekalkan minat dalam sukan ini,” katanya lagi.
Pada masa sama, Muhamad Suhaidin cuba menjadikan latihan sebagai satu proses pembelajaran yang positif.
“Saya juga akan memberi masa untuk rehat dan memastikan dia masih mempunyai ‘kehidupan’ seperti kanak-kanak lain,” ujarnya.
Perjuangan di belakang tabir
Mengulas lanjut, Muhamad Suhaidin memaklumkan pengorbanannya sebagai bapa menjadi faktor penting yang menyokong perjalanan sukan anaknya.
Katanya lagi, komitmen yang diberikan bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan masa, tenaga dan perbelanjaan yang bukan sedikit.
“Sebahagian besar masa dihabiskan untuk sesi latihan, menyertai pertandingan dan perjalanan ke pelbagai lokasi kejohanan. Semua itu dilihat sebagai satu tanggungjawab dan tanda sokongan terhadap minat serta bakat yang ditunjukkan oleh Azhar Habib.
“Sebagai ibu bapa, kami hanya mahu memberi peluang terbaik untuk dia mengembangkan potensi yang ada,” katanya.
Ujar Muhamad Suhaidin, pengorbanan itu terasa berbaloi apabila melihat kesungguhan anaknya berlatih tanpa mengenal penat.
Malah, antara detik paling menyentuh hati apabila menyaksikan usaha gigih yang ditunjukkan sepanjang latihan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya meraih keputusan yang membanggakan dalam kejohanan.
“Kejayaan yang diraih bukan sekadar kemenangan di gelanggang, tetapi juga hasil daripada disiplin, sokongan keluarga dan semangat juang yang ditanam sejak kecil,” katanya.
- Bakat tidak menjamin kejayaan, memerlukan disiplin dan sikap hormat.
- Azhar Habib dibimbing seimbang agar tidak rasa tertekan, tetapi menikmati sukan.
- Hubungan ayah dan anak dijaga melalui latihan santai untuk memahami tujuan latihan.
- Pengorbanan bapa termasuk masa, tenaga dan kos menyokong perjalanan sukan.
- Kejayaan dicapai hasil disiplin, sokongan keluarga dan semangat juang.
