


SPM dah habis tetapi pelajaran hidup baru bermula, nasihat PMX untuk lepasan SPM!
Seramai 40 pelajar daripada pelbagai sekolah seluruh Malaysia diraikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Pejabat Perdana Menteri sempena pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Dalam majlis itu, Anwar mengucapkan tahniah kepada para pelajar atas keputusan mereka.
Beliau menekankan bahawa walaupun keputusan akademik penting, perjalanan hidup anak-anak memerlukan kesabaran, tekad dan usaha yang berterusan dalam bidang masing-masing.
“Selain kecemerlangan akademik, kekuatan nilai dan akhlak juga penting dalam membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut berkongsi pandangan mengenai cabaran geopolitik dan ekonomi semasa yang memberi kesan kepada seluruh dunia dan menekankan kepentingan pelajar untuk peka dengan perkembangan semasa.
"Para pelajar juga diingatkan agar sentiasa mendengar nasihat ibu bapa, mengambil berat terhadap sekeliling dan bersedia menghadapi cabaran masa depan yang semakin mencabar.
"Kerajaan akan berusaha menyediakan peluang terbaik bagi memastikan semua anak-anak mempunyai masa depan cemerlang di Malaysia," ujar Anwar.
Beliau yang turut dikenali sebagai PMX, menutup ucapan dengan doa agar seluruh lepasan SPM diberikan kekuatan, kecekalan diri dan kemahuan yang tinggi untuk menjadi lebih baik daripada hari ini.
Dengan pengajaran ini, para pelajar diharap bukan sahaja menumpukan pada keputusan akademik, malah membina peribadi yang kukuh dan berdaya saing demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.