
SK Kiaramas, sekolah rendah pertama miliki gelanggang padel!
Sekolah Kebangsaan (SK) Kiaramas, Kuala Lumpur, menjadi sekolah rendah pertama di Malaysia yang memiliki gelanggang padel sendiri dalam usaha Persatuan Padel Malaysia (MPA) membangunkan sukan itu di peringkat akar umbi.
MPA dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif itu mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Inisiatif ini turut direalisasikan hasil sumbangan dan tajaan Presiden MPA, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Tan Sri Abdullah yang telah menaja pembinaan gelanggang padel di SK Kiaramas sebagai komitmen berterusan dalam pembangunan sukan ini di Malaysia.
"Kerjasama erat antara pihak sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta MPA membuktikan pembangunan sukan boleh bermula dari peringkat sekolah dan seterusnya berkembang ke tahap yang lebih tinggi," menurut kenyataan itu.
MPA memaklumkan antara objektif utama projek berkenaan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap padel sebagai sukan alternatif yang bukan sahaja menyeronokkan malah mudah untuk dipelajari oleh kanak-kanak.
Selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan murid, kewujudan gelanggang itu juga menjadi platform utama dalam mengenal pasti serta membangunkan bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Projek itu turut bermatlamat mengukuhkan hubungan kerjasama antara institusi pendidikan, komuniti setempat dan badan sukan selain menjadikan SK Kiaramas sebagai perintis kepada pembangunan padel di peringkat sekolah rendah.
"Inisiatif itu juga dijangka menjadi model rujukan kepada sekolah lain dalam memperkenalkan kemudahan sukan baharu serta menarik minat pihak penaja dan sektor swasta untuk turut serta dalam pembangunan sukan di sekolah," menurut kenyataan itu. - Bernama