
TVET bukan laluan kelas kedua
1) Kita terlalu lama melihat kejayaan dari satu sudut
Dalam masyarakat kita, masih wujud persepsi bahawa kejayaan itu datang melalui laluan akademik tradisional dan bukan laluan lain. Pelajar yang cemerlang dianggap berjaya apabila masuk universiti awam terkemuka, manakala pelajar yang memilih TVET pula kadangkala dilihat seolah-olah memilih 'jalan kedua'.
Hakikatnya, dunia industri moden hari ini sudah jauh berubah.
Negara kini bukan sahaja memerlukan graduan akademik sahaja, tetapi juga tenaga kerja teknikal yang benar-benar kompeten dalam bidang yang melibatkan kerja-tangan (hands-on) seperti automation, CNC machining, robotics, CAD/CAM, fabrication dan advanced manufacturing.
Persoalannya: Adakah kita masih melihat pendidikan menggunakan perspektif lama, sedangkan keperluan industri sudah berubah?

2) TVET bukan jalan belakang, tetapi laluan kepakaran berbeza
TVET bukan laluan 'kurang berjaya'. Sebaliknya, TVET adalah laluan kepakaran yang berbeza.
Dalam sebuah ekosistem industri moden, kita memerlukan pelbagai kelompok kepakaran:
- Jurutera
- Saintis
- Juru teknik (technician)
- Ahli teknologi (technologist)
- Ahli mesin (machinist)
- Pakar automasi (automation specialist)
- Fabrikator
- Penyepadu sistem (system integrator)
Semua ini memainkan peranan penting.
Sebuah industri tidak boleh bergerak hanya dengan teori semata-mata tanpa tenaga teknikal yang mampu merealisasikan idea kepada produk sebenar.
Begitu juga, pelaksanaan teknikal tanpa asas kejuruteraan dan analisis yang baik juga boleh menghadkan potensi pembangunan teknologi.
Kerana itu, industri moden memerlukan keseimbangan antara kedua-duanya.
3) Negara maju dibina dengan tenaga kerja teknikal yang kukuh (Strong Technical Workforce)
Apabila kita melihat negara-negara industri maju seperti Jerman, Jepun dan Korea Selatan, antara kekuatan utama mereka ialah tenaga kerja teknikal yang sangat kukuh.
Industri berteknologi tinggi (high-tech industry) bukan hanya bergantung kepada jurutera atau saintis, tetapi juga kepada juruteknik mahir dan ahli teknologi yang kompeten.

Namun yang lebih penting, ekosistem ini hanya menjadi kuat apabila wujud budaya saling memahami dan saling menghargai antara setiap peranan.
- Juruteknik dan ahli teknologi memahami kepentingan niat rekabentuk (design intent), teori dan prinsip yang dibangunkan oleh jurutera atau saintis.
- Begitu juga, jurutera dan saintis perlu menghargai realiti pelaksanaan di lapangan serta kepakaran teknikal yang dimiliki oleh juruteknik mahir dan ahli teknologi.
Dalam industri sebenar, kedua-duanya bukan bersaing untuk menentukan siapa lebih hebat. Sebaliknya mereka saling bergantung.
Namun dalam sesetengah keadaan, masih wujud persepsi seperti: 'Technician adalah pihak yang membetulkan kesilapan engineer'.
Walaupun sering disebut secara santai, persepsi sebegini sebenarnya tidak membantu membina budaya industri yang matang.
Di negara-negara maju, hubungan ini lebih profesional:
- Jurutera mereka bentuk dan menganalisis sistem
- Juruteknik dan ahli teknologi melaksanakan, menguji dan memberi maklum balas daripada realiti lapangan
- Kemudian proses penambahbaikan dilakukan bersama-sama
Akhirnya, kekuatan sesebuah industri bukan bergantung kepada satu kelompok sahaja, tetapi kepada sejauh mana setiap peranan memahami dan menghormati kepakaran antara satu sama lain.
4) Industri moden memerlukan kemahiran teknikal beraras tinggi
Hari ini, industri pembuatan (manufacturing) moden bukan lagi sekadar kerja manual asas.
Banyak industri kini menggunakan:
- Mesin CNC berketepatan tinggi
- Robotic automation
- Digital manufacturing
- Sensor integration
- Simulation-driven engineering
- Sistem kawalan pintar
Mesin-mesin ini memerlukan tenaga kerja teknikal yang mempunyai kefahaman mendalam terhadap sistem dan proses.

Sebagai contoh, seorang technician moden mungkin perlu:
- Membaca technical drawing
- Memahami CAD model
- Mengendalikan mesin automation
- Melakukan troubleshooting sistem
- Memahami tolerance manufacturing
- Berinteraksi dengan software industri
Ini bukan lagi kerja teknikal konvensional seperti yang dibayangkan masyarakat 20 tahun dahulu.
TVET hari ini semakin kompleks, moden dan berteknologi tinggi.
5) TVET aras tinggi mampu melahirkan engineer yang lebih holistik
Satu perkara yang semakin jelas dalam industri ialah, jurutera yang mempunyai hands-on exposure selalunya mempunyai pemahaman yang lebih mendalam terhadap dunia sebenar.
Mereka bukan sahaja memahami teori, tetapi juga:
- Kebolehkilangan (manufacturability)
- Kengkangan pemasangan (assembly limitation)
- Cabaran fabrikasi
- Pertimbangan penyelenggaraan (maintenance consideration)
- Pelaksanaan praktikal (practical implementation)
Gabungan teori dan pengalaman praktikal ini sangat bernilai dalam industri.
Sebab itu TVET aras tinggi, termasuk di peringkat degree dan ke atas, mempunyai potensi besar untuk melahirkan engineer yang lebih holistik dan lebih dekat dengan realiti industri.

6) Kita perlu ubah cara kita melihat kejayaan
Mungkin sudah tiba masanya kita mengubah satu persepsi lama dalam masyarakat bahawa kejayaan hanya datang melalui satu laluan pendidikan tertentu.
Hakikatnya, negara memerlukan pelbagai bentuk kepakaran.
Ada yang cemerlang dalam penyelidikan. Ada yang kuat dalam analisis. Ada yang mahir membina sistem. Ada yang pakar dalam pelaksanaan teknikal.
Semua ini penting.
Kita tidak boleh membina negara berteknologi tinggi hanya dengan satu jenis tenaga kerja sahaja.
7) TVET adalah sebahagian daripada masa depan negara
Malaysia sedang bergerak ke arah industri yang lebih maju dan berteknologi tinggi.
Perjalanan ini memerlukan kesemua pekerjaan yang saya sebutkan sebelum ini.
Dan mereka bukan pesaing antara satu sama lain.
Sebaliknya mereka adalah sebahagian daripada ekosistem pembangunan negara.
TVET bukan alternatif kepada kejayaan.
TVET adalah sebahagian daripada ekosistem kejayaan negara.
Dengan itu, TVET bukan laluan kelas kedua.
Maklumat penulis:
Jurutera Kanan CFD (Computational Fluid Dynamics) dan Pakar Aerodinamik Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal atau Dr Aid Fawzal