No Image Caption

Nak masuk IPTA? BM dan Sejarah SPM masih ‘tiket wajib’ - Zambry

15 May 2026 01:00pm

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang merancang laluan ke universiti awam perlu mengambil perhatian apabila kerajaan menegaskan bahawa mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah kekal sebagai syarat wajib untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir berkata, syarat itu terpakai kepada semua pelajar termasuk mereka yang datang daripada aliran tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Menurut beliau, walaupun kerajaan membuka lebih banyak laluan kemasukan ke IPTA, asas utama tetap berpandukan keputusan SPM.

“SPM tetap wajib walaupun dia belajar aliran itu. Penilaian UPU kita berdasarkan keputusan SPM termasuk lulus Bahasa Melayu dan Sejarah yang diiktiraf Lembaga Peperiksaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti pada Jumaat.

No Image Caption

Pelajar pelbagai aliran kini ada lebih peluang

Sebelum ini, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menetapkan beberapa ketetapan baharu berkaitan laluan kemasukan pelajar institusi tahfiz, sekolah swasta dan SMPC ke IPTA.

Artikel Berkaitan:

Menerusi keputusan itu, calon aliran berkenaan yang memiliki SPM penuh boleh memohon pelbagai program pengajian melalui sistem UPUOnline seperti calon lain.

Bagaimanapun, Zambry menegaskan bahawa syarat asas kemasukan tetap perlu diselaraskan demi menjaga standard pendidikan negara.

“Asasnya mesti sama. Dari aliran mana sekalipun, untuk masuk ke IPTA mesti berdasarkan sistem SPM kita,” katanya.

Perkongsian itu secara tidak langsung menjadi peringatan penting kepada calon SPM terutama Tingkatan Lima yang sedang membuat persediaan memilih universiti dan bidang pengajian.

Walaupun ramai memberi tumpuan kepada subjek teras lain seperti Matematik atau Sains, Bahasa Melayu dan Sejarah masih menjadi syarat utama yang tidak boleh dipandang ringan jika mahu melanjutkan pengajian ke IPTA.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menegaskan usaha kerajaan untuk memperkukuh institusi politeknik dan kolej komuniti agar tidak lagi dilihat sebagai institusi pilihan kedua.

“Dunia berubah dan kita tahu akan ketinggalan jika kita tidak berubah,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp