
Murid 'syurga' kekuatan guru
Di sebalik cabaran mendidik Murid Berkeperluan Khas, tersimpan pelbagai kisah yang meninggalkan kesan mendalam dalam hati seorang guru.
Bagi guru Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim 2, Misbah Mohd@Kamaruddin, antara kenangan paling sukar dilupakan sepanjang bergelar pendidik ialah seorang murid yang sentiasa hadir ke sekolah walaupun sering berdepan masalah kesihatan.
Menurutnya, murid itu mempunyai satu kebiasaan yang cukup menyentuh hati apabila sering mengintai dari luar tingkap kelas sambil memberikan senyuman sebelum pulang ke rumah.
"Walaupun selalu sakit, dia tetap datang ke sekolah seperti biasa. Setiap kali sebelum balik, dia akan intai saya dari luar tingkap dan senyum.
"Perkara kecil itu sangat bermakna buat saya. Saya rasa seperti dia ada cara tersendiri untuk menunjukkan rasa sayang dan mengambil berat terhadap guru. Murid itu kini telah meninggal dunia," katanya.

Senyuman murid itu menjadi antara memori paling bermakna sepanjang dirinya bergelar guru Pendidikan Khas.
Dalam pada itu, Misbah, 41, mengakui tidak pernah menganggap tugas mendidik murid Pendidikan Khas sebagai satu pengorbanan kerana bidang tersebut dipilih dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang.
"Bagi saya, tiada istilah pengorbanan kerana inilah tanggungjawab dan pekerjaan yang saya pilih dengan ikhlas. Saya mendidik mereka dengan penuh kasih sayang kerana saya memang sayang akan bidang ini," ujarnya.
Tambahnya, segala masa, tenaga dan usaha yang dicurahkan demi memastikan murid mendapat pendidikan terbaik merupakan sebahagian daripada amanah sebagai seorang pendidik.
Katanya lagi, kebahagiaan paling besar buat dirinya ialah apabila melihat murid menunjukkan perkembangan positif dan hadir ke sekolah dengan gembira setiap hari.
"Apabila melihat murid gembira dan ada perkembangan walaupun sedikit, itu sudah cukup membuatkan saya rasa bahagia dan berbaloi," katanya.
Mengulas lanjut, Misbah berkata, antara perkara paling menyentuh hati ialah apabila murid masih menunjukkan rasa sayang dan mesra terhadap guru walaupun pernah dimarahi atau ditegur demi kebaikan mereka.
"Benda kecil seperti itu menjadi kenangan yang sangat bermakna buat saya sebagai seorang guru," katanya.
